suria

Aman Jaya, Kedah dikenakan PKPD Pentadbiran berkuatkuasa tengah malam ini

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di Bangunan Parlimen, pada Khamis. Foto: Bernama

BERMULA tengah malam ini, kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Aman Jaya, Kedah, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Ujar Ismail Sabri, ia akan berkuatkuasa sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Ia membabitkan 22,360 isi rumah (265 rumah) di tiga zon iaitu Kenanga, Mawar dan Melur dan mereka akan disaring oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

ARTIKEL BERKAITAN: Kluster PUI Sivagangga: Empat mukim di Kedah dikenakan PKPD Pentadbiran, 7,000 penduduk jalani ujian saringan

Beliau berkata penduduk di zon itu tidak dibenarkan keluar dari zon tersebut manakala orang luar juga tidak dibenarkan memasuki zon berkenaan dan sekatan jalan raya akan dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengawal jalan keluar masuk kawasan itu.

"Individu yang perlu bekerja tidak dibenarkan keluar dari kawasan sepanjang tempoh PKPD secara pentadbiran, dan mereka yang dari luar juga tidak dibenarkan datang bekerja di kawasan PKPD," katanya dalam sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pada Khamis.

Ismail Sabri turut memberi peringatan kepada para majikan untuk tidak mengenakan sebarang tindakan kepada pekerja terlibat yang tidak hadir bekerja memandangkan ia adalah perintah oleh kerajaan, dan menyarankan majikan membenarkan pekerja untuk bekerja dari rumah.

Mengulas mengenai tempat awam seperti masjid dan rumah ibadat serta institusi pendidikan termasuk sekolah, taska dan pusat tuisyen, ujarnya kesemua lokasi itu turut diarah tutup sepanjang tempoh PKPD pentadbiran.

Ismail Sabri berkata hanya premis perniagaan yang menyediakan perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi seperti kedai makan, kedai runcit, stesen minyak, farmasi, klinik dan hospital.

"Restoran dan kedai makan hanya boleh menggunakan kaedah bungkus dan bawa pulang dan dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam, serta kedai menjual ubat-ubatan juga boleh beroperasi sehingga 8 malam sahaja," katanya menambah klinik dan hospital pula dibenar beroperasi 24 jam.

Operasi pasar malam dan pasar tani tidak dibenarkan dan hanya pasar harian boleh beroperasi dari 6 pagi hingga 2 petang, manakala bagi stesen minyak dan kedai runcit pula, waktu operasi ditetapkan 8 pagi hingga 8 malam.

Menurut Ismail Sabri, hanya ketua keluarga atau seorang dari sebuah rumah dibenarkan keluar bagi tujuan pembelian barang makan atau keperluan keluarga.

Bagaimanapun, bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka yang terlibat dibenarkan keluar tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain