BEKAS Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhriz Mahathir mengakui anak perempuan dan menantunya ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah pub, Sabtu lalu kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). "Memang benar, anak perempuan dan menantu saya dibawa ke balai polis bersama 27 orang lain kerana melanggar PKPP," kata Mukhriz ketika ditemui pemberita selepas program sepetang bersama Tun Mahathir Mohamad di Pusat Bandar Felda Besout 3, Slim River, pada Khamis. "Mengikut undang-undang berkaitan, mereka dikompaun RM1,000 dan semua sudah bayar (kompaun) termasuk anak dan menantu saya," katanya Enggan melayan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan anak perempuannya mabuk, Mukhriz menegaskan dia sememangnya kecewa dengan perkara yang berlaku. "Saya sudah pesan kepada semua ahli keluarga supaya tidak melanggar SOP ketika musim PKPP ini, dan kena tunjuk contoh yang baik. "Memanglah kecewa kerana pelanggaran itu berlaku juga. Kita sudah beri teguran dan memang patutlah dia kena kompaun oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya. Mukhriz juga mengucapkan terima kasih kepada polis Kuala Lumpur kerana mengambil tindakan tegas dan adil. Media sebelum ini melaporkan anak seorang kenamaan (VVIP) merupakan antara pengunjung yang ditahan berada di premis yang beroperasi melebihi had masa dibenarkan dalam tempoh PKPP. - THE STAR Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!