SEIRING perubahan trend dari segi tingkah laku pengguna dan pada masa sama mahu terus berdaya saing, tentunya setiap syarikat perlu bergerak mengikut peredaran masa. Maka tidak terkecuali bagi Pos Malaysia. Justeru menerusi Pos Laju, ia memperkenalkan platform digital baharu, SendParcel yang menyasarkan untuk mencapai dua juta bungkusan dalam sebulan menjelang 2021. "SendParcel Pos Laju dilancarkan tahun lalu bertujuan memenuhi perubahan dari segi tingkah laku membeli pengguna iaitu daripada pembelian barangan secara fizikal di kedai runcit kepada pembelian secara dalam talian," kata Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Syed Md Najib. "Perniagaan kurier kami adalah segmen utama yang menghasilkan sumber pendapatan berterusan untuk Pos Malaysia. Namun masalahnya kami masih menjalankan perniagaan secara konvensional iaitu pelanggan perlu ke outlet Pos Laju, sementara perniagaan lain beroperasi dalam talian dan perlu tindakan pantas kerana permintaan tinggi dari pelanggan," katanya. Dalam masa setahun, jumlah pengguna berdaftar sudah melepasi 86,000 pelanggan, manakala dalam tempoh antara Oktober 2019 hingga Julai 2020, SendParcel Pos Laju telah berjaya menghantar lebih daripada 3.3 juta bungkusan secara keseluruhan dan menghasilkan pendapatan RM21.7 juta. Ia menyasarkan untuk memperoleh pendapatan RM30 juta pada akhir tahun ini. Pembentukan platform penghantaran secara dalam talian ini sememangnya tepat pada masanya kerana Pos Malaysia tidak akan dapat bertahan sewaktu kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada peringkat awal pandemik Covid-19 beberapa bulan lalu. Dengan peningkatan yang tinggi dalam aktiviti pembelian secara online ketika itu, SendParcel Pos Laju menyediakan platform yang tepat untuk menghantar barang pelanggan terus ke alamat rumah mereka. Tambahnya lagi, Pos Malaysia memanfaatkan rancangan digitalisasi dan transformasinya untuk meneroka keperluan pelanggannya, memasuki pasaran e-dagang yang berkembang pesat yang dalam masa sama memenuhi permintaan pelanggan yang terus berkembang. Memanfaatkan inovasi digital juga satu-satunya cara untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan meningkatkan pengalaman pelanggan. "Penggunaan teknologi yang pesat merupakan cabaran baharu bagi perniagaan kami dan Pos Malaysia tahu bahawa ia mesti menyesuaikan diri dengan digitalisasi agar terus relevan dalam industri dan memenuhi perubahan tingkah laku pelanggan," katanya. Pos Malaysia juga menyedari kewujudan saingan yang mempunyai dana serta kemampuan teknologi lebih tinggi. Justeru, ia ibarat saingan sengit bagi warga Pos Malaysia untuk tampil dengan kaedah digital yang mantap ke pasaran. "Kami tahu kami perlu tangkas untuk mengelak kehadiran kami tidak relevan dalam industri ini. Tekanannya tinggi, tetapi kami yakin pasukan kami dapat menghasilkan platform digital yang dapat bersaing dan unggul di pasaran," tambahnya. SendParcel Pos Laju diperkenalkan pada Ogos 2019 bertujuan memberikan kemudahan pelanggan terutama untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Selain kemudahan akses 24 jam dengan kemasukan pantas pesanan, pelanggan juga ditawarkan kadar harga bungkusan terbaik, sebut harga segera, perkhidmatan pengutipan percuma, nota pengiriman yang dihasilkan secara automatik termasuk kemudahan pelaporan dan kaedah menjejak penghantaran. Pada Januari 2020, Pos Malaysia mengembangkan perkhidmatan dengan menawarkan penghantaran antarabangsa ke lebih daripada 200 negara di seluruh dunia, menghubungkan PKS tempatan dan perniagaan e-dagang dengan pasaran luar negara. Dengan akses 24 jam, SendParcel menawarkan pelbagai kemudahan termasuk kadar harga bungkusan yang berpatutan. "Dengan meningkatkan jangkauan kami ke peringkat antarabangsa melalui SendParcel Pos Laju, peniaga di Malaysia dapat berhubung dengan pelanggan antarabangsa dan memperluas jaringan mereka ke seluruh dunia, sambil menikmati harga yang berpatutan. "Pos Malaysia tetap komited untuk memberikan kemudahan dan membuka sempadan dan peluang baharu bagi pelanggan," kata Syed. Menerangkan lebih lanjut mengenai SendParcel Pos Laju, Syed berkata Pos Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dengan lebih ke hadapan melalui maklum balas berterusan daripada pengguna untuk memastikan ia terus memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan. Melengkapkan lagi perkhidmatan SendParcel Pos Laju, Pos Malaysia juga memperkenalkan automasi dan peningkatan digital lain untuk memastikan penghantaran bungkusan selamat dan tiba tepat pada masanya. Sehingga kini, Pos Malaysia mempunyai 40 pusat pengedaran yang dilengkapi dengan sistem pengkelasan separa automatik yang mengurangkan beban kerja manual dan melancarkan aliran kerja untuk kecekapan maksimum. Pos Malaysia juga akan melengkapi enam pusat pengedaran tambahannya dengan sistem pengkelasan separa automatik pada akhir tahun ini. Sejajar dengan perkembangannya, Pos Malaysia menyaksikan faedah langsung kepada kapasiti dan kelajuan pemprosesan di mana ia kini dapat memproses lebih 60 peratus item - menurunkan jumlah masa pemprosesan antara satu hingga dua jam sehari yang secara tidak langsung seiring dengan sasarannya untuk memproses satu juta bungkusan setiap hari pada akhir 2021. "Apa yang pasti usaha pelaburan kami untuk melangkaui jangkaan pelanggan melalui platform digital yang mantap akan sentiasa berterusan," tambah Syed lagi. Untuk maklumat lanjut, sila klik di sini. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!