suria

Melonjak! 62 positif Covid-19, 50 libatkan Kluster Benteng... staf perubatan kes indeks Kluster Sungai di Kedah

Kes positif Covid-19 melonjak kepada 62 kes pada Isnin. Foto: Bernama

PENULARAN Covid-19 di negara ini merekodkan 62 kes baharu, menjadikan keseluruhan 9,459 kes setakat Isnin

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 207 kes di mana mereka telah diasingkan dan diberi rawatan di hospital.

Daripada 62 kes baharu yang telah dilaporkan, enam merupakan kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan dua rakyat Malaysia dan empat warga asing yang pulang dari Turki (2 kes), Bangladesh (2 kes), Indonesis (1 kes) dan Mesir (1 kes).

ARTIKEL BERKAITAN: 6 kes baharu Covid-19 pada Ahad, Kluster Benteng catat pertambahan 2 kes

Sementara itu, 56 kes penularan di dalam negara pula melibatkan 30 warga tempatan dan 26 rakyat asing.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, 50 kes dilaporkan melibatkan Kluster Benteng Lahad Datu; satu kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) dikesan di Hospital Lahad Datu; dua kes daripada Kluster Sungai, satu kes saringan Kluster Telaga; satu kes saringan bergejala di sebuah klinik pergigian di Alor Setar dan satu kes saringan kontak rapat kepada kes positif ke-9,397.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa satu kluster baharu telah dikenal pasti di sebuah pusat perubatan di Kedah.

"Kes indeks (Kes ke-9,455) kluster ini merupakan seorang anggota kesihatan di pusat perubatan tersebut. Beliau bergejala sejak 30 Ogos 2020 tetapi tidak mendapatkan rawatan. Ujian saringan Covid-19 dijalankan pada 5 September 2020 dan didapati positif.

"Kes kedua kluster ini (Kes ke-9,456) merupakan anggota kesihatan di pusat perubatan di Kedah. Beliau juga merupakan kontak rapat kepada kes indeks. Susulan itu, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat telah dijalankan," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tiada kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kekal 128 kematian.

Pada Isnin, sembilan kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 9,124 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Untuk rekod semasa, terdapat enam kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di mana empat kes memerlukan bantuan pernafasan.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain