MAJLIS perkahwinan di kawasan yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersyarat (PKPDB) dibenarkan untuk diteruskan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata, keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan permohonan daripada penduduk setempat di kawasan tersebut yang telah menetapkan tarikh majlis. Jelasnya, penduduk setempat bagaimanapun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan digalakkan untuk mengurangkan tempoh penganjuran majlis. ARTIKEL BERKAITAN: SOP lama di penjara antara punca kenaikan mendadak kes Covid-19 - Ismail Sabri "Mereka merayu supaya majlis diteruskan sebab kad jemputan sudah diedarkan dan tidak lagi boleh dibatalkan kerana tentu sahaja mengakibatkan kerugian. "Oleh itu, mesyuarat bersetuju untuk membenarkan majlis perkahwinan diteruskan dan mereka perlu mematuhi setiap SOP (prosedur operasi standard) yang kita telah perkenalkan," katanya pada sidang media, petang Jumaat. Antara SOP tersebut, katanya, melakukan penjarakkan fizikal dan mengambil suhu badan sebelum memasuki majlis serta mendaftar nama sebagai rekod. "Begitu juga dengan mengambil makanan sama ada berbungkus atau disediakan bufet yang disediakan oleh pramusaji, ini adalah antara SOP-SOP lama," katanya. Bagaimanapun katanya, terdapat SOP tambahan iaitu pengawasan supaya pematuhan sop yang ditetapkan "Jika di kampung, kawasan perumahan atau dewan, kita cadangkan anggota Rela untuk mengawasi perjalanan majlis tersebut bagi memantau pematuhan SOP. "Bagi majlis yang kurang 100 orang dalam satu-satu masa, dua anggota Rela mencukupi. Kalau 200 hingga 300 orang, ada tiga anggota Rela dan begitulah seterusnya. "Kehadiran anggota Rela bukan untuk mengganggu majlis, tetapi memastikan pematuhan SOP dilakukan oleh penganjur majlis," katanya. Beliau menambah, sekiranya majlis dianjurkan di hotel di kawasan PKPB, pengurusan hotel perlu menyediakan para petugas untuk memantau pematuhan SOP. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!