CIPTA sejarah! Fosil gajah purba Stegodon pertama di Malaysia dengan anggaran usia 30,000 hingg 80,000 ribu tahun ditemui di dalam satu gua batu kapur di Gopeng, Perak. Penemuan fosil ini merupakan satu tonggak sejarah dalam bidang kajian paleontologi Kuaterner di Malaysia. Ini kerana gajah purba berkenaan merupakan salah satu genus Proboscidea daripada keluarga Stegodontidae yang telah lama pupus. Ia ditemui oleh sekumpulan saintis dari Universiti Malaya (UM) yang diketuai saintis dari Jabatan Geologi, Fakulti Sains UM, Dr Ros Fatihah Muhammad dengan kerjasama ahli paleontologi vertebrat dan zooarkeologi dari Persatuan Paleontologi Malaysia, Lim Tze Tshen. Menurut Dr Ros Fatihah, spesies gajah purba tersebut berbeza dengan gajah moden Asia (Elephas maximus) yang masih wujud di Malaysia dari segi morfologi, ekologi dan taksonomi. Katanya, Perak mempunyai kepelbagaian spesimen dan spesies Proboscidea paling tinggi di Malaysia, sekurang-kurangnya dua atau tiga jenis Proboscidea berlainan pernah hidup di Semenanjung (Stegodon sp., Elephas maximus dan berkemungkinan juga Palaeoloxodon namadicus). Sekumpulan saintis yang berjaya menemui fosil Stegodon di dalam gua batu kapur di Gopeng. Beliau berkata, penemuan itu amat penting dari segi biogeografi dengan implikasi terhadap pembinaan semula sejarah laluan migrasi biota zaman Pleistosen, termasuk manusia. "Penemuan ini hasil susulan daripada makluman kumpulan peneroka gua, Kinta Valley Watch serta tinjauan dan kajian kami. Kajian setakat ini menunjukkan tinggalan hidupan ini tidak berasosiasi dengan manusia purba. "Bagaimanapun amat penting dalam kajian berkaitan sejarah migrasi fauna kuno dan juga perubahan alam sekitar di rantau Asia Tenggara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. Fosil itu dikenal pasti sebagai Stegodon oleh Tze Tshen serta perkongsian pakar dari seluruh dunia, antaranya 5th Earl of Cranbrook; Datuk Seri Gathorne Gathorne-Hardy dari Natural History Museum (London) dan Dr John de Vos dari Naturalis Biodiversity Center (Leiden). Proses itu turut mendapat perkongsian daripada Dr Gert van den Bergh dari University of Wollongong, Australia serta Dr Gerrell Drawhorn dari California State University (Sacramento), Amerika Syarikat (AS). Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!