suria

Anwar hanya kemukakan ‘jumlah’, tak senaraikan nama ahli Parlimen untuk kukuhkan dakwaan - Istana Negara

Anwar mengadakan pertemuan dengan Agong pada Selasa untuk menunjukkan dia mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

KEMASKINI

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengemukakan senarai nama ahli-ahli Parlimen yang menyokongnya kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah sewaktu pertemuan yang berlangsung pagi Selasa.

Istana Negara menerusi satu kenyataan berkata, dalam pertemuan selama 25 minit bersama Al-Sultan Abdullah, Presiden PKR itu sebaliknya hanya menyatakan jumlah sokongan yang diperolehinya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Beri ruang Tuanku jalankan tanggungjawab dan menelaah dokumen” - Anwar persembah bukti sokongan 120 MP pada Agong

"Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan jumlah ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.

"Bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

"Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," demikian kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan tersebut.

Anwar dalam sidang medianya, petang Selasa berkata dia sudah mempersembahkan dokumen sahih majoriti kukuh ahli Parlimen yang menyokongnya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Jelasnya, kini tiba masa untuk dia memberi ruang kepada baginda bagi meneliti dokumen berkenaan sebelum memutuskan tindakan seterusnya.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, kenyataan itu menyebut Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kegusaran dan menasihati seluruh rakyat supaya bertenang serta berdisiplin menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mematuhi ketetapan tatacara kebiasaan baharu dan prosedur operasi standard (SOP).

"Adalah dimaklumkan juga, lanjutan kepada pelaksanaan PKPB dan atas titah perkenan Al-Sultan Abdullah, Istana Negara telah melaksanakan sekatan pergerakan separa (semi-lockdown) yang telah berkuatkuasa sehingga tarikh yang akan diumumkan kelak.

"Seri Paduka Baginda amat prihatin dan menitikberatkan penjagaan dan tahap kesihatan diri para pegawai serta kakitangan Istana Negara dan pelaksanaan ini adalah untuk menjaminkan keselamatan dan kesejahteraan warga Istana Negara.

"Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia terus dilindungi dan dirahmati dan ancaman penularan Covid-19 dapat dibendung dengan berkesan dan diakhiri dengan segera," ujarnya.

Berikut adalah kenyataan penuh Istana Negara:

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain