suria

Majlis rasmi atau sosial tak dibenarkan sama sekali! Elak keliru... ketahui SOP sepanjang PKPB

Kerajaan pada Isnin mengumumkan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 12.01 malam, Rabu. Foto: Bernama

SEBARANG majlis rasmi atau tidak rasmi melibatkan sektor kerajaan mahupun swasta, serta majlis sosial seperti kenduri dan apa juga sambutan adalah tidak dibenarkan sama sekali di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ia susulan keputusan kerajaan pada Isnin untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 12.01 malam, Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Perhatian! PKPB kembali dilaksana di Selangor, KL dan Putrajaya bermula Rabu

Menurut Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia adalah salah satu prosedur operasi standard (SOP) yang dipersetujui hasil mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Selasa.

Selain itu, semua aktiviti pelancongan ke luar dan masuk ke kawasan PKPB juga tidak dibenarkan, jelas Ismail.

Antara SOP yang telah dipersetujui adalah seperti berikut:

1) Pergerakan keluar masuk/merentas daerah adalah tidak dibenarkan. Bagaimanapun bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.

2) Hanya dua orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.

3) Bagi kes kecemasan seperti sakit dan pengurusan jenazah di luar daerah adalah dibenarkan tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada pihak PDRM.

4) Bagi mereka yang perlu melalui negeri Selangor dan Kuala Lumpur ke negeri-negeri lain, mereka dinasihatkan untuk mendapatkan kebenaran daripada balai polis berhampiran sebelum membuat perjalanan.

5) Individu yang menggunakan pergerakan udara melalui KLIA, KLIA2 dan Subang, mereka juga perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak PDRM.

6) Restoran, kedai, gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan, kiosk, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara 6.00 pagi hingga 10.00 malam.

7) Pembelian makanan digalakkan secara pandu lalu, penghantaran (delivery) atau take-away sahaja. Bagaimanapun makan di premis makanan (dine in) adalah dibenarkan namun ianya terhad kepada 2 orang 1 meja dengan pematuhan SOP Sektor Makanan.

8) Waktu operasi stesen minyak adalah antara 6 pagi hingga 10 malam (kecuali pengoperasian stesen minyak di lebuhraya dibenarkan beroperasi 24 jam)

9) Perkhidmatan pengangkutan awam seperi bas henti-henti, bas ekspres, LRT, teksi/ e-hailing dibenarkan beroperasi.

10) Waktu operasi klinik dan hospital kerajaan dan swasta dibenarkan secara 24 jam. Farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan beroperasi mulai 8 pagi hingga 11 malam.

11) Sektor perikanan, perladangan, pertanian, penternakan dan semua yang berkaitan dengan rantaian makanan dibenarkan beroperasi.

12) Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi adalah ditutup.

13) Masjid - kehadiran enam jemaah yang ditentukan oleh jawatankuasa masjid termasuk Imam, manakala pengurusan dan petugas di semua rumah ibadat bukan Islam dibenarkan seramai enam orang sahaja. Cadangan ini akan dibawa kepada Jakim dan Pihak Berkuasa Agama Negeri Selangor untuk dipersembahkan kepada YDPA dan Sultan Selangor.

14) Mesyuarat perlu diadakan secara sidang video manakala mesyuarat secara bersemuka adalah tidak digalakkan.

15) Pusat-pusat hiburan dan kelab malam juga tidak dibenarkan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

PKPB, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, SOP

Artikel Lain