PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak mengikuti perkembangan situasi di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah, pagi Selasa.
Malahan, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah untuk membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.
"Saya sebenarnya tak mengikuti perkara itu. Saya serahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong.
"Tuanku adalah seorang yang bijaksana, faham dari sudut peranan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, peruntukan dalam Perlembagaan dan sebagainya.
"Itu adalah dalam kuasa penuh Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam sidang media, petang Selasa.
Muhyiddin berkata, keutamaan beliau pada masa kini adalah dalam hal-hal berkaitan Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
"Maka kita harus utamakan urus masalah Covid-19 dan urus masalah ekonomi negara," katanya.
Beliau berkata demikian selepas diminta memberi komen mengenai pertemuan Presiden PKR itu dengan Al-Sultan Abdullah di Istana Negara.
Anwar dalam satu didang media selepas pertemuan itu berkata dia sudah mempersembahkan dokumen sahih majoriti kukuh ahli Parlimen yang menyokongnya kepada Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Ahli Parlimen Port Dickson ini, kini tiba masanya untuk dia memberi ruang kepada baginda bagi meneliti dokumen berkenaan sebelum memutuskan tindakan seterusnya.
Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!