suria

Lagi gangguan air di Selangor dan KL akibat pencemaran, lebih 1,200 kawasan terjejas

Gangguan bekalan air melibatkan lebih 1 juta akaun pengguna. Foto: The Star/Azhar Mahfof

LAGI pencemaran dikesan di Sungai Selangor mengakibatkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd terpaksa menghenti tugas loji rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang.

Pencemaran tersebut dikesan sekitar pukul 2.00 pagi Isnin.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri, henti tugas di empat loji berkenaan menyebabkan 1,292 kawasan membabitkan 1,196,457 akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

ARTIKEL BERKAITAN: Gangguan bekalan air di 15 kawasan di Klang, Shah Alam mulai malam ini

Ia membabitkan kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

"Bagi proses pencairan dan 'flushing' bahan pencemaran yang terdapat di dalam Sungai Selangor, tindakan segera dilakukan dengan melepaskan air secara graviti dari HORAS 600 dengan kapasiti 285 juta liter sehari dan pelepasan air mentah dari empangan sebanyak 800 juta liter sehari.

"Dalam pada itu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam KL Larut dengan kapasiti 336 juta liter sehari untuk tujuan yang sama.

"Sehingga 6.30 pagi ini, pencemaran masih lagi di kesan di Sungai Selangor pada tahap 1 ton," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Berikutan insiden itu, Elina berkata, pemulihan henti tugas separa LRA Sungai Selangor Fasa 1 berikutan paip air terawat pecah yang sudah mencapai 80 peratus, tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual.

Katanya, pihaknya menyediakan bantuan bekalan air dengan menggerakkan lori tangki ke kawasan terjejas dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

"Pengguna yang memerlukan bantuan bekalan air untuk kecemasan seperti urusan kematian boleh menghubungi 15300.

"Air Selangor amat memahami situasi pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mengambil segala usaha bagi meminimumkan impak gangguan kepada pengguna terjejas," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain