BERMULA Khamis (5 November) ini, daerah Seremban, Negeri Sembilan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), demikian menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Perintah PKPB yang berkuatkuasa sehingga 18 November ini meliputi sembilan mukim iaitu Ampangan, Seremban, Bandar Seremban, Labu, Rantau, Rasah, Setul, Pantai dan Lenggeng. "Prosedur Standard Operasi (SOP) bagi PKPB masih sama seperti yang diumumkan sebelum ini," katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Selasa petang. Sementara itu, Ismail Sabri berkata Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di penjara dan kuarters perumahan penjara Seberang Perai, Pulau Pinang dilanjutkan selama 14 hari lagi bermula Khamis hingga 18 November. Beliau berkata pelaksanaan PKPD di lokaliti itu adalah berikutan masih terdapat kes positif Covid-19 baharu sehingga 1 November. Ismail Sabri juga berkata PKPD di Penjara Zon Utara dan Zon Selangor ditamatkan esok (Rabu) selepas kes positif Covid-19 menunjukkan penurunan dan terkawal. "Penjara Zon Utara ialah Pusat Koreksional Perlis, Penjara Sungai Petani, Penjara Taiping, Penjara Koreksional Kamunting Perak dan Penjara Tapah. "Zon Selangor melibatkan Penjara Reman Sungai Buloh, Penjara Kajang, Penjara Wanita Kajang dan Pusat Koreksional Puncak Alam," katanya. Dalam perkembangan lain, beliau berkata Polis Diraja Malaysia telah menahan sejumlah 381 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP pada Isnin dengan 372 dikompaun manakala sembilan lagi direman. Katanya kesalahan tidak memakai pelitup muka dilaporkan sebagai yang tertinggi melibatkan 151 individu diikuti premis gagal menyediakan peralatan dan catatan keluar masuk pelanggan iaitu 66. "Kesalahan lain termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan sosial melibatkan 37 individu, pesta persendirian (26), premis beroperasi lebih masa (24), aktiviti di pusat hiburan (sembilan) dan kesalahan lain (68)," katanya. - BERNAMA Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!