suria

Kluster Seridana: Polis bantuan di Pejabat Perdana Menteri antara 5 dikesan positif Covid-19

Lima kes positif dikesan di PMO setakat 2 November.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang giat menjalankan saringan di Pejabat Perdana Menteri (PMO) susulan lima kes positif Covid-19 dikesan setakat ini.

Lima kes tersebut kini membentuk satu kluster baharu iaitu Kluster Seridana, di mana kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan yang dilakukan tiga hari sebelum sidang Dewan Rakyat.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kes dikesan terhadap seorang pegawai polis bantuan yang berkhidmat di PMO yang mempunyai tugasan di Parlimen.

ARTIKEL BERKAITAN: 2 lagi kematian akibat Covid-19 direkodkan, 5 kluster baharu dikesan... 834 kes positif

"Polis bantuan yang berkhidmat di PMO, ada tugasan khas di Parlimen. Beliau juga kita dapati positif (Covid-19) dan tiga rakan beliau dan isteri juga positif.

"Jadi saringan sedang dijalankan di PMO, ada kluster baharu yang dikenal pasti iaitu Kluster Seridana melibatkan lima kes positif," katanya dalam sidang media pada petang Selasa.

Beliau mengulas mengenai kes positif Covid-19 yang dikesan di Parlimen sebagaimana yang dilaporkan media pada Isnin.

Pada Isnin, KMM memaklumkan kluster Seridana melibatkan Wilayah Persekutuan Putrajaya di mana kes indeks bagi kluster ini (kes ke-32,505) telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 31 Oktober 2020.

Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak empat lagi kes positif Covid-19. Kesemua kes dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Sehingga 2 November 2020,12 tengah hari, sejumlah 31 individu telah disaring, di mana lima kes dikesan positif Covid-19 dan 26 individu masih menunggu keputusan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain