suria

Keterangan mencurigakan, remaja perempuan suspek kes bunuh rakan sekolah... ditahan reman 7 hari

suspek-bunuhrakan

REMAJA perempuan yang juga suspek bunuh rakan sekolah yang ditemui mati dengan kesan tikaman di beberapa bahagian badan termasuk putus pergelangan tangan kiri, dalam kejadian di Kampung Lubok Batu, Telemong, Hulu Terengganu direman tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan tempoh reman bermula hari ini sehingga 9 November depan terhadap suspek berusia 19 tahun itu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, remaja itu yang mengenakan baju lokap berwarna ungu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Marang di sini kira-kira jam 10.10 pagi.

Semalam, suspek ditahan selepas tampil ke Balai Polis Telemong Hulu Terengganu kira- kira jam 7.30 pagi dengan ditemani ibunya kononnya untuk membantu siasatan, namun hasil keterangan diberi remaja terbabit mencurigakan lalu ditangkap untuk siasatan lanjut.

Penahanan remaja yang bersekolah bersama mangsa daripada Tingkatan Satu hingga Lima itu sekali gus membongkar motif kejadian pembunuhan kejam itu.

Semalam, Ketua Polis Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, hasil pendedahan, suspek memaklumkan dia pergi ke rumah mangsa kira-kira jam 9 pagi dan bersembang di ruang tamu sebelum berlaku perselisihan faham sehingga tercetusnya pergelutan di antara mereka.

Mohd Adli berkata, hasil penahanan suspek, turut ditemui beberapa barangan milik mangsa dilaporkan hilang termasuk telefon bimbit, wang tunai dan kelengkapan mekap.

Pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek juga mendapati beberapa kesan kecederaan di bahagian badannya.

Pihaknya juga masih mengesan pisau yang dipercayai digunakan dalam insiden itu.

Kelmarin, media melaporkan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun ditemui mati dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di Kampung Lubok Batu, Telemong di sini.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa, Siti Nur Surya Ismail ditemui tertiarap di ruang tamu rumah berkenaan oleh adiknya, Siti Nur Syuhada, 15, yang baru pulang dari sekolah.

Siti Nur Surya dibunuh kejam dengan beberapa kesan tikaman dipercayai senjata tajam di beberapa bahagian badan termasuk putus pergelangan tangan kiri.

Ketika kejadian, bapa mangsa tiada di rumah, manakala mangsa yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik sedang menjaga ibunya yang terlantar sakit akibat kanser otak.- SinarHarian.com

TONTON VIDEO PILIHAN!

Nur Surya, Telemong,

Artikel Lain