suria

Tragis lima rentung termasuk empat sekeluarga

Bomba memadamkan kebakaran yang berlakudi Kampung Delek Kanan, Klang.

MENYAYAT hati apabila lima termasuk empat sekeluarga rentung dalam kejadian kebakaran di Klang, Selangor, awal pagi Rabu.

Kebakaran itu membabitkan lima buah rumah di Kampung Delek Kanan di Klang, kira-kira pukul 3.40 pagi.

Mereka terdiri daripada pasangan suami isteri Fauzi Daut, 44, dan Sarimah Yusuf, 37; kakak Fauzi, Fauziah Daut, 50; anak saudara pasangan itu, Mohd Amirudin Ali, 12, serta jiran mereka Ubaidilah Ayob, 48.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan pada kira-kira pukul 3.56 pagi dan setibanya di lokasi sembilan minit kemudian, api dilihat sedang sangat marak.

Beliau berkata, tindakan pantas pihaknya juga berjaya mengelakkan tiga lagi unit rumah sederet di situ musnah dalam kebakaran itu dan kira-kira lapan penghuni rumah berkenaan juga sempat menyelamatkan diri.

"Kita dimaklumkan terdapat lima mangsa terperangkap dalam dua daripada tiga rumah yang terbakar. Pemeriksaan mendapati empat mayat dijumpai bersembunyi dalam bilik air dan mayat kanak-kanak itu pula berada berdekatan pintu bilik air," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di Klang, Rabu.

"Mereka dipercayai cuba mengelakkan diri daripada kebakaran berkenaan. Siasatan awal mendapati pintu rumah tersebut berkunci dan mangsa-mangsa bersembunyi di bilik air mungkin disebabkan mereka panik akibat tidak jumpa kunci rumah," tambahnya.

Norazam berkata, pemeriksaan awal mendapati mayat Mohd Amirudin terbakar 30 peratus manakala mayat Fauzi, Sarimah dan Fauziah pula terbakar 80 peratus, dan mayat Ubaidilah tidak terbakar, dan dia dipercayai maut akibat terhidu asap tebal.

Beliau berkata, saksi memberitahu ada terdengar bunyi letupan namun pihaknya sedang menyiasat punca sebenar kebakaran dan ia dipercayai bermula daripada rumah pertama dihuni oleh Ubaidilah.

Katanya, semakan mendapati rumah sederet itu dipercayai rumah sewa yang dibina sekitar tahun 1994 namun tidak pernah dirujuk kepada pihak bomba untuk pemeriksaan ciri-ciri keselamatan, dan kebakaran itu merebak dengan pantas.

Norazam berkata, kesemua mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk tindakan lanjut. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain