suria

919 kes positif Covid-19, satu lagi kematian direkodkan

Penghuni di kawasan Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula pada Rabu. - fotoBERNAMA

PENULARAN Covid-19 di negara ini merekodkan 919 kes baharu, menjadikan keseluruhan 43,791 kes setakat Khamis.

Daripada kes baharu yang telah dilaporkan, tiga merupakan kes import manakala selebihnya adalah penularan dalam negara.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, terdapat pertambahan satu kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kematian 303 kes.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan satu kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 303 kes," katanya pada sidang media petang Khamis.

Sehingga hari ini, 996 kes telah pulih, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 32,069 kes.

Untuk rekod semasa, 92 kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala 35 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, satu kluster baharu dikesan iaitu Kluster Teluk yang melibatkan daerah Kota Kinabalu di Sabah.

Ringkasan kes kematian hari ini:

1. Lelaki berusia 66 tahun bukan wargangera yang meninggal dunia di Hospital Tawau, Sabah.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, KKM, Dr Noor Hisham

Artikel Lain