GARA-GARA mengambil dadah, seorang lelaki mengalami kecederaan di bahagian kemaluan, dipercayai dihiris rakan wanitanya ketika mereka sedang khayal dalam satu satu kejadian di Pasar Bandar Baru Farlim, Georgetown pada Jumaat. Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, polis menerima panggilan daripada mangsa kira-kira jam 7.55 pagi yang memaklumkan kemaluannya cedera. Kata Soffian, siasatan mendapati suspek yang berusia 38 tahun itu pergi ke pejabat mangsa yang terletak berdekatan pasar tersebut pada jam 6.30 pagi. "Mereka kemudiannya mengambil dadah dan berada dalam keadaan khayal. Akibat terlalu khayal, mangsa kemudiannya tidak sedarkan diri. "Bagaimanapun, mangsa menyedari kemaluannya cedera dan berdarah dipercayai dihiris selepas sedar daripada khayal manakala suspek menghilangkan diri," katanya. Katanya, mangsa dipercayai dicederakan menggunakan objek tajam, namun pemeriksaan mendapati kecederaan dialami tidak serius dan kini dirawat di hospital. "Beberapa barang kes termasuk sebilah gunting dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa kita rampas. "Suspek yang belum berkahwin ditahan di Paya Terubong, Air Itam pada jam 9 pagi semalam (Jumaat) dan dia didapati positif methamphetamine serta mempunyai tiga rekod jenayah lampau," katanya. Soffian berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata. - SINAR HARIAN Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!