KERAJAAN kini membenarkan tiga individu berada dalam satu kenderaan, berbanding dua orang sebelum ini. Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan memberi kelonggaran bagi prosedur operasi standard (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa serta-merta itu mestilah dengan syarat, penumpang dan pemandu itu dari rumah yang sama. ARTIKEL BERKAITAN: Tak boleh balik kampung! Ketahui SOP Deepavali di kuil, rumah... ziarah di kawasan PKPD tidak dibenarkan "Keputusan ini dibuat selepas kita mendengar pandangan dan permohonan orang ramai untuk menambah jumlah penumpang dalam kenderaan persendirian daripada rumah yang sama walaupun pihak polis sebelum ini telah memberi kelonggaran atas budi bicara mereka. "Ini juga bagi memudahkan pihak polis membuat penguatkuasaan dan selaras dengan jumlah yang dibenarkan bagi kenderaan teksi dan e-hailing," katanya dalam sidang media harian pelaksanaan PKP Pemulihan pada Jumaat petang. Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata kuasa budi bicara polis masih terpakai jika terdapat lebih tiga individu dalam sebuah kenderaan bagi keadaan tertentu misalnya membawa kanak-kanak atau warga emas. Mengenai perayaan Hari Deepavali yang akan disambut esok, Ismail Sabri berkata pihak berkuasa akan melakukan rondaan di kawasan perumahan dan perkampungan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP yang ditetapkan. Jelasnya di kawasan PKPD, hanya keluarga dalam satu rumah boleh meraikan secara bersama sementara di kawasan PKPB, jiran terdekat turut dibenarkan dengan syarat tidak melebihi 20 orang dalam satu-satu masa. Bagi upacara sembahyang di kuil, hanya 30 orang ditetapkan dalam satu-satu masa mengikut keluasan kuil dengan mematuhi penjarakan fizikal serta upacara sembahyang dibahagikan kepada lima sesi dan bermula dari 7 pagi sehingga 12 tengah hari. Tambah Ismail Sabri, SOP sempena perayaan Deepavali adalah sama seperti Hari Raya Aidilfitri sebelum ini. "Kita tidak membezakan antara kaum dan agama untuk perkenal SOP kerana semasa Hari Raya, orang ramai juga terikat dengan SOP yang sama," katanya. - BERNAMA Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!