suria

Naik empat angka! Malaysia rekod 1,304 kes Covid-19 pada Jumaat, pertambahan satu kes kematian

Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan saringan dan pengambilan sampel bagi mengesan jangkitan Covid-19. Foto: Bernama

PENULARAN Covid-19 di negara ini merekodkan 1,304 kes baharu, menjadikan keseluruhan 45,095 kes setakat Jumaat.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 11,822 di mana pesakit sudah diasingkan dan diberikan rawatan.

Daripada 1,304 kes baharu yang telah dilaporkan, empat merupakan kes import manakala selebihnya adalah penularan dalam negara.

ARTIKEL BERKAITAN: 919 kes positif Covid-19, satu lagi kematian direkodkan

Sabah masih mencatatkan kes tertinggi dengan 556 kes pada Jumaat.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, terdapat pertambahan satu kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kematian 304 kes.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan satu kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 304 kes," katanya pada sidang media petang Jumaat.

Sehingga hari ini, 900 kes telah pulih, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 32,969 kes.

Untuk rekod semasa, 96 kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala 39 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, empat kluster baharu dikesan iaitu Kluster Bonggaya, Kluster Jambatan B, Kluster Abell dan Kluster BMU.

Ringkasan kes kematian hari ini:

Kes melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 70 tahun mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan pesakit meninggal dunia di Hospital Tuaran.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, KKM, Sabah, ICU

Artikel Lain