suria

Angka korban Covid-19 di Malaysia catat peratusan rendah di peringkat global, Ismail Sabri buat perbandingan mudah dengan jumlah kes positif, kadar kematian di UK

Malaysia mencatatkan peratusan kes dan angka korban yang rendah menerusi data yang dikeluarkan di peringkat global. Gambar hiasan

JUMLAH kes positif Covid-19 yang direkodkan di Malaysia setakat ini menunjukkan situasi masih terkawal dengan strategi kesihatan yang dilaksanakan kerajaan menampakkan kejayaan.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Malaysia mencatatkan peratusan kes dan angka korban yang rendah menerusi data yang dikeluarkan di peringkat global.

"Sehingga 12 November 2020, dunia telah merekodkan sebanyak 51,251,715 kes positif Covid-19 secara global dengan 1,270,830 kes kematian.

"Berbanding dengan Malaysia, negara kita telah merekodkan sebanyak 42,872 kes positif Covid-19 atau 0.08 peratus berbanding jumlah kes positif global dengan 302 kes kematian atau 0.02 peratus berbanding kematian global," katanya dalam sidang media petang Jumaat.

Sebagai contoh, katanya, di United Kingdom (UK) jumlah penduduknya adalah dua kali ganda berbanding Malaysia dan negara itu merekodkan sebanyak 1,290,195 kes positif Covid-19 dengan 50,928 kematian.

Untuk rekod, penduduk di UK dianggarkan berjumlah 67.8 juta pada 2020 manakala Malaysia mempunyai kira-kira 32.7 juta penduduk pada tahun sama.

“Kalau jumlah (penduduk) kita separuh dari UK, maknanya kalau ikut simple calculation UK catat 50,000 kematian, separuh adalah 25,000 kematian... tapi Alhamdulillah kita hanya 302 rekod kematian.

“Dari segi perbandingan ini, yang saya nak tunjukkan bahawa kita masih mampu mengawal keadaan dari segi jangkitan Covid-19 positif dan kadar kematian kita masih rendah.

“Ini bermakna strategi kementerian kita lihat berjaya apabila kes sembuh begitu besar sekali, kita dapat selamatkan nyawa rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, Ismail Sabri mengingatkan rakyat negara ini agar tidak leka kerana Covid-19 masih berada di dalam komuniti.

"Selagi tiada vaksin, kita perlu sentiasa waspada. Amalkan kawalan kendiri untuk keselamatan diri, keluarga dan masyarakat," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain