suria

Berita baik buat penduduk Lembah Klang! 99 peratus kawasan terjejas bekalan air pulih sepenuhnya

Bekalan air di 1,263 atau 99 peratus kawasan di Lembah Klang yang mengalami gangguan telah pulih sepenuhnya.

BERITA baik buat pendududk di Lembah Klang yang mengalami gangguan bekalan air.

Bekalan air di 1,263 atau 99 peratus kawasan di Lembah Klang yang mengalami gangguan telah pulih sepenuhnya pada 6 pagi Jumaat.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, jumlah tersebut adalah daripada 1,279 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual dan 16 kawasan yang terjejas masih lagi dalam proses pemulihan dan akan menerima bekalan air secara berperingkat.

"Pemulihan kawasan masing-masing di Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor adalah 100 peratus, manakala di Klang/ Shah Alam (92 peratus), Hulu Selangor (91)," katanya dalam kenyataan, pagi Jumaat.

Gangguan bekalan air tidak berjadual ini berlaku ekoran henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2, 3 dan Rantau Panjang berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada Selasa lepas.

"Air Selangor juga berharap para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakannya secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

"Bantuan bekalan air alternatif melalui pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) masih lagi disediakan untuk kemudahan para pengguna yang masih lagi terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini," katanya.

Pengguna yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai gangguan bekalan air boleh melayari saluran komunikasi rasmi Air Selangor di aplikasi Air Selangor, Facebook, Twitter dan Instagram serta laman sesawang di www.airselangor.com. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain