PENULARAN Covid-19 di negara ini merekodkan 1,114 kes baharu, menjadikan keseluruhan 46,209 kes setakat Sabtu. Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 12,131 di mana pesakit sudah diasingkan dan diberikan rawatan. Daripada 1,114 kes baharu yang telah dilaporkan, dua merupakan kes import manakala selebihnya adalah penularan dalam negara. ARTIKEL BERKAITAN: Naik empat angka! Malaysia rekod 1,304 kes Covid-19 pada Jumaat, pertambahan satu kes kematian Sabah masih mencatatkan kes tertinggi dengan 391 kes pada Sabtu. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, terdapat pertambahan dua kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kematian 306 kes. "Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan dua kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini. "Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 306 kes," katanya pada satu kenyataan media pada Sabtu. Sehingga hari ini, 803 kes telah pulih, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 33,772 kes. Untuk rekod semasa, 103 kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di mana 43 kes memerlukan bantuan pernafasan. Sementara itu, empat kluster baharu dikesan iaitu Kluster Istimewa, Kluster Alila, Kluster Assumption dan Kluster Rajawali. Ringkasan kes kematian hari ini: Kes melibatkan seorang perempuan warganegara Malaysia berusia 78 tahun mempunyai latar belakang penyakit osteoarthritis dan pesakit meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth. Kes melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 51 tahun mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, kencing manis dan penyakit buah pinggang kronik. Pesakit meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!