suria

Tergelincir ketika daki Bukit Banang, wanita maut jatuh gaung sedalam 80 meter

Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Jabatan Kesihatan. Foto: The Star

SEORANG wanita berusia 20 tahun yang sedang mendaki Bukit Banang, Batu Pahat, maut selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 80 meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Pahat, Mohd Fauzi Mohd Nor berkata, mangsa sedang mendaki bersama beberapa individu lain ketika kejadian itu berlaku.

Menurut Mohd Fauzi, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 11.30 pagi Sabtu.

"Sebuah jentera bomba dan dua kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perubatan Kecemasan (EMRS) dengan enam belas anggota dikerahkan ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba, kami menjumpai seorang wanita yang jatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 80 meter. Mayat mangsa berjaya dibawa naik kira-kira pukul 3.00 petang,"katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, wanita berkenaan disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Jabatan Kesihatan.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Azhan Abdul Halim mengesahkan kejadian berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain