suria

Tragedi malam Deepavali! Budak tujuh tahun maut tertusuk pisau

Mathialagan menunjukkan gambar mangsa yang maut akibat tertusuk pisau pada malam sambutan Deepavali. Gambar kecil: J Adithiyan

MALANG tidak berbau. Begitulah kisah menimpa seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang maut akibat tertusuk pisau di dada dalam tragedi di Taman Cempaka, Kampung Koh di Sitiawan pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa dikenali sebagai J Adithiyan disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Hospital Seri Manjung.

Bapa saudara mangsa, D Mathialagan, 43, berkata, semasa kejadian beliau bersama ahli keluarga lain sedang sibuk memasak dan mendekorasi kolam di hadapan rumah mereka.

"Ketika itu saya sedang masak kari kambing dan terus berlari ke depan sebaik terdengar suara menjerit. Saya lihat banyak darah di lantai sambil adik perempuan pegang anaknya.

"Saya yang panik terus memandu ke hospital sambil adik tekap dada anaknya sebab darah terlampau banyak. Sebaik sahaja sampai hospital, doktor sahkan anak saudara saya sudah tiada," katanya ketika ditemui di pekarangan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada Ahad.

Menceritakan kembali kejadian itu, menurutnya, anak saudara perempuan berusia 11 tahun telah pergi ke dapur untuk mengambil pisau selepas diminta oleh ibunya.

"Ibunya minta anaknya itu ambil pisau untuk potong tali ketika mereka sedang hias rumah. Ketika dia mahu serahkan pisau, mereka berdua bertembung sesama sendiri di pintu rumah.

"Bapa mangsa yang kebetulan terlihat kejadian itu terkejut apabila anaknya jatuh dengan darah membuak-buak di bahagian dada sebelum mangsa tidak sedarkan diri," katanya.

Mathialagan berkata, mereka masih terbayang keletah mangsa yang disifatkan sebagai kanak-kanak periang dan banyak cakap.

"Dia sangat rapat dan manja dengan kami semua. Sebelum kejadian dia minta dekat isteri untuk makan kari kambing tetapi masa itu makanan masih panas.

"Saya minta dia bersabar dan makan selepas habis sembahyang di kuil esoknya (semalam). Kemudian dia minta saya warnakan rambutnya dan main mercun tetapi saya hanya sempat warnakan rambut sahaja," katanya.

Katanya, ibunya hanya mampu menangis di rumah sambil memeluk baju raya yang belum sempat dipakainya.

"Kami masih dalam kesedihan dan sambutan raya kali ini hambar kerana kejadian ini. Mayat mangsa akan dikebumikan di Sitiawan esok (hari ini)," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, namun enggan mengulas lanjut sehingga mendapatkan laporan lengkap bedah siasat. - Sinar Harian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain