suria

Segak berbaju Melayu hitam, Saarani Mohamad angkat sumpah MB Perak baharu

Saarani melambaikan tangan kepada media di hadapan pintu masuk Istana Iskandariah sebelum memasuki kawasan istana bagi Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak ke-14.

DATUK Saarani Mohamad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-14, pagi Khamis.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan itu mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, pada kira-kira pukul 11 pagi.

Saarani, 59, yang memakai baju Melayu hitam lengkap bersamping hitam hadir diiringi isterinya, Datin Aezer Zubin.

ARTIKEL BERKAITAN: Saarani angkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak esok

Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak ke-14 pada Khamis dibuat selepas Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melantik Saarani ke jawatan itu.

Kemelut politik Perak berlaku selepas Adun Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hilang kepercayaan majoriti ADUN apabila undi percaya terhadapnya hanya mendapat 10 undi berbanding 48 undi yang menolak.

Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak berkhidmat sebagai Adun Kota Tampan selama empat penggal sejak 2004.

Beliau pernah berkhidmat bersama tiga Menteri Besar Perak terdahulu iaitu Tan Sri Tajul Rosli Ghazali, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sebelum itu, beliau juga adalah Adun Lenggong antara 1999 hingga 2004.

Beliau memiliki Diploma Sains serta Pendidikan (Fizik dan Matematik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sebelum melanjutkan pendidikan ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang pengurusan sumber manusia di Open University Malaysia (OUM).

Beliau mendirikan rumah tangga bersama Datin Aezer Zubir yang juga seorang pesara guru dan mereka dikurniakan lapan cahaya mata.

Sepanjang perkhidmatan, Saarani disifatkan individu berpengalaman dan menyandang pelbagai kedudukan dalam kerajaan negeri.

Antaranya sebagai Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Sumber Manusia (Mei 2014 hingga Mei 2018); Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Mei 2013 hingga Mei 2014), Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Perladangan dan Kebajikan (Februari 2009 hingga Mei 2013), Exco Pembangunan Luar Bandar, Industri Perladangan dan Komoditi (September 2006 hingga Mac 2008) serta Exco Pembangunan Luar Bandar (Mac 2004 hingga September 2006).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain