SEORANG lelaki berpangkat Inspektor yang memiliki wang tunai RM1 juta dalam akaun bank antara 29 anggota polis yang kini sedang disiasat oleh Bukit Aman. Mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan Addy Kanna yang ditahan pada 3 Oktober lalu kerana disyaki terlibat dalam penipuan Macau berskala besar. ARTIKEL BERKAITAN: Addy Kanna, Alvon Goh ditahan di bawah Poca selama 2 tahun Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya. Sewaktu disoal, anggota polis itu mendakwa wang yang dimiliki merupakan pemberian bapanya. "Kami akan menyiasat sumber wang itu dengan terperinci," ujar Zamri kepada media. Ujarnya, siasatan awal hanya melibatkan empat anggota polis, namun semakin banyak nama diterima selepas siasatan diteruskan. "Siasatan dibuat berdasarkan tingkah laku dan disiplin. Kami melihat gaya hidup, pemilikan hartanah, perjalanan ke luar negara tanpa izin serta pergerakan mereka. "Kami harap siasatan selesai bulan depan," katanya lagi. Untuk rekod, dua suspek utama penjudian dalam talian telah ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (Poca) selama dua tahun. Goh Leong Yeong, juga dikenali sebagai Alvin Goh, akan ditahan di Penjara Simpang Renggam di Johor sementara Addy Kanna ditahan di Penjara Pokok Sena di Kedah. Penahanan di bawah Poca diputuskan oleh Lembaga Pencegahan Jenayah Kementerian Dalam Negeri pada November lalu. - The Star. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!