suria

Salam takziah... Prof Diraja Ungku Aziz meninggal dunia pada usia 98 tahun

Prof Diraja Ungku Abdul Aziz meninggal dunia pada pukul 4 petang, Selasa. Foto: The Star

TOKOH pendidikan dan ekonomi negara, Prof Diraja Ungku Abdul Aziz meninggal dunia pada usia 98 tahun.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di hospital di ibu negara pada pukul 4 petang, Selasa.

Dilahirkan di Hampstead, England pada 28 Januari 1922, Ungku Aziz adalah tokoh terbilang dalam bidang ekonomi dan pentadbiran selain merupakan seorang ahli akademik dan penulis yang disegani.

Allahyarham adalah naib canselor Universiti Malaya yang pertama dan paling lama berkhidmat, dan ahli ekonomi Melayu pertama dan satu-satunya orang yang diberi status Profesor Diraja di negara ini.

Allahyarham juga berperanan dalam penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Lembaga Tabung Haji dan Pertubuhan Koperasi Nasional Malaysia (Angkasa).

Allahyarham juga berkelulusan dari English College di Johor Bharu dan Malay School di Batu Pahat, dan mendapat pendidikan tinggi di Raffles College di Singapura.

Allahyarham mendapat ijazah dalam bidang ekonomi pada 1951, di Universiti Malaya (UM), Singapura sebelum memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang sama di Universiti Waseda, Tokyo pada 1964.

Allahyarham juga telah menulis lebih dari 50 buku mengenai masalah sosial dan ekonomi Malaysia, adalah seorang perunding kepada pelbagai agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Anak perempuannya adalah bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain