suria

Hotel First World Genting Highland tidak tempatkan pesakit Covid-19, MKN Pahang nafi mesej tular

MKN Pahang menafikan mesej tular kononnya pesakit Covid-19 ditempatkan di Hotel First World Genting Highland. Foto: Sinar Harian

MESEJ yang tular kononnnya pesakit positif Covid-19 ditempatkan di Hotel First World Genting Highlands, Bentong, adalah tidak benar sama sekali.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, Mohd Zairasyahli Shah Zakaria berkata, hanya terdapat tiga lokaliti Covid-19 di Genting Highlands yang telah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), iaitu Ria Apartment, Amber Court Apartment dan Rumah Kongsi Kampung Semaut.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes Covid-19 libatkan warga asing naik mendadak, pusat kuarantin Maeps diaktifkan semula - Ismail Sabri

"Tiada pergerakan keluar masuk dibenarkan di lokaliti itu. Saringan Covid-19 juga tidak dilakukan pihak swasta tetapi kerjasama KKM.

"Mesej tular tersebut turut mendakwa pihak pengurusan Genting menyembunyikan kes positif dan menyimpan pesakit di hotel berkenaan mengakibatkan kebimbangan orang ramai dan menganggap virus itu menular di Genting Highlands.

"MKN Pahang menegaskan tiada kes positif ditempatkan di hotel itu. Sebaliknya mereka yang telah disaring didapati negatif tetapi dikuarantinkan sementara waktu," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah berkongsi mesej tular tanpa membuat semakan terlebih dahulu kerana ia hanya mengakibatkan kegusaran dan ketakutan umum untuk ke Genting Highlands.

Tambahnya, bas yang bergerak ke Genting Highlands pula membawa 131 pesakit Covid-19 dari Amber Court Apartment warga asing ke Sukpa dan 144 dari lokaliti sama ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

"Orang ramai diminta mengikuti perkembangan kes menerusi Facebook Kerajaan Negeri Pahang. Kerajaan negeri akan memberi status terkini," katanya lagi. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Sebelum

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan