suria

Pensijilan jadi kunci utama ke arah keseimbangan pemuliharaan hutan dan pembangunan industri kayu

Produk kayu dengan pensijilan PEFC turut hadir bersama logo, membolehkan pembeli mendapatkan bahan dari sumber diyakini.

SEBAGAI sebuah negara yang kaya dengan pelbagai sumber, industri utama Malaysia seperti perhutanan memainkan peranan yang cukup penting terhadap ekonomi negara.

Pada masa yang sama, kelestarian hutan hujan tropika harus diambil kira demi masa depan bersama.

Memastikan keseimbangan antara pembangunan industri kayu dan pemuliharaan hutan di negara ini yang tersenarai antara yang tertua di dunia merupakan peranan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC), kata pengerusinya, Kamaruzaman Mohamad.

"Memastikan keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan alam bukan sesuatu yang mudah. Tambahan pula, Malaysia bergantung kepada sumber kayu sebagai salah satu sumber pendapatan.

"Satu-satunya cara untuk mencapai keseimbangan ini adalah dengan menguruskan sumber secara mampan dan apabila ia melibatkan kayu, pensijilan adalah kuncinya," ujar Kamaruzaman.

Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, selaku pengeluar dan pengeksport utama produk kayu tropika, Malaysia mencapai jumlah eksport kayu dan produk kayu sebanyak RM17.81 bilion dari Januari hingga Oktober 2020. Perabot kayu kekal sebagai penyumbang utama dengan nilai RM8.38 bilion, diikuti oleh papan lapis (RM2.38 bilion), kayu gergaji (RM1.97 bilion) dan tanggam pada nilai RM800.7 juta.

Angka ini penting dalam era pandemik Covid-19, kerana ia tetap sejajar dengan eksport produk tersebut sepanjang dekad yang lalu, yang mencatatkan purata sekitar RM20 bilion setiap tahun, sekali gus mencerminkan kepentingan industri ini untuk ekonomi Malaysia.

Pada tahun 2019, jumlah eksport kayu dan produk kayu bernilai kira-kira RM22.5 bilion.

Walaupun industri ini berjaya mengekalkan prestasi yang stabil, ia bagaimanapun tidak harus memusnahkan hutan di Malaysia.

Sebaliknya, perubahan yang berlaku selama bertahun-tahun ini adalah peningkatan perhatian terhadap kelestarian.

Fokus terhadap produk hijau

Ia bertepatan dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030 (SDGs) yang mengubah tingkah laku dan kesedaran pengguna berkaitan kelestarian hutan dan produk hijau.

Matlamatnya juga dibuktikan dengan data dari tinjauan pengguna global untuk Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC) yang dilakukan oleh GfK yang berpangkalan di Jerman pada tahun 2014.

Hasilnya menunjukkan bahawa daripada 13,000 responden dari 13 negara, lebih daripada 80 peratus pengguna di seluruh dunia mahukan syarikat yang mendapatkan sumber diperakui dari hutan yang diurus secara lestari untuk menggunakan label pensijilan.

Sebanyak 60 peratus setuju bahawa pilihan berbelanja mereka untuk produk berlabel dapat membuat perubahan positif terhadap hutan dunia, sementara lebih daripada separuh (54 peratus) menganggap label perakuan sebagai bukti paling meyakinkan bahawa faktor pembangunan alam sekitar dan lestari telah dipertimbangkan.

Menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia Mohd Khairuddin Aman Razali, pengeluaran produk yang beretika dan lestari merupakan sesuatu yang sangat diperlukan.

"Dengan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap perubahan iklim, penyahutanan dan degradasi hutan, dan sejajar dengan SDG, tak disangkal lagi bahawa trend permintaan produk yang beretika dan lestari ini telah berkembang termasuklah di Malaysia.

Dr Mohd Khairuddin: Peningkatan kesedaran mengenai impak alam sekitar memacu trend ke arah produk yang lestari dan berkekalan.

"Pada masa lalu, proses ini dipacu oleh pasaran yang peka terhadap persekitaran dan sosial khususnya di Eropah yang mahukan produk kayu yang diiktiraf.

"Dengan peningkatan kesedaran orang ramai hari ini, kita lihat meningkatnya juga permintaan agar hutan diurus secara lestari dalam negara ini," ujarnya.

Kayu juga bagus

Bagi pengguna yang peka terhadap alam sekitar, kayu merupakan pilihan yang bagus kerana ia dianggap lebih lestari sebagai sumber yang boleh diperbaharui, khususnya jika diuruskan dengan baik, jelas Kamaruzaman lagi.

Dalam konteks ini, pengurusan hutan mampan(SFM) di mana pokok dituai dengan cara yang mengambil kira aspek sosial, ekonomi dan persekitaran adalah penting untuk memastikan kelestarian industri kayu di Malaysia.

Di Malaysia, produk sebegitu boleh diperoleh menerusi syarikat yang mendapat pensijilan di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS), satu skim pensijilan kayu secara sukarela yang dikendalikan oleh MTCC.

Selain mempromosikan SFM menerusi pensijilan pengurusan hutan, MTCS membolehkan industri kayu menghasilkan dan mengeksport produk kayu yang diperakui untuk memenuhi permintaan antarabangsa melalui pensijilan rantaian jagaan (CoC).

Kamaruzaman: Pensijilan sangat penting bagi memastikan pengurusan sumber alam seperti bekalan kayu yang berkekalan.

Sama ada perusahaan kecil dan sederhana atau jenama global, beliau melihat lebih banyak syarikat ingin menunjukkan bahawa bahan berasaskan hutan yang mereka gunakan datang dari sumber yang sah dan mampan.

"Ada yang melakukannya sebagai respon terhadap peraturan dan persyaratan peraturan, manakala yang lain menyedari faedah jaminan kelestarian dalam penyampaian pada produk untuk menangani masalah persekitaran, sosial dan etika, ” jelasnya.

Menuju kelestarian

Bagi Royal Selangor, tujuan untuk mendapatkan pensijilan CoC hanya satu; mereka mahu menjuarai kelestarian.

Pengarah urusannya, Yong Yoon Li berkata,"Keseluruhan idea kami adalah untuk memperjuangkan kelestarian dengan lebih peka terhadap alam sekitar bermula dari fasa pencarian sumber bahan sehingga cara penghantaran produk serta cara menggunakan bahan tenaga.”

Royal Selangor mula melaksanakan pensijilan lima ke enam tahun yang lalu demi memastikan kayu yang digunakan dalam produk adalah dari sumber yang lestari.

"Dalam pembuatan produk, kami mencari media yang serasi. Media paling harmoni yang melengkapi timah adalah kayu.

"Oleh itu, [MTCS-] PEFC [pensijilan CoC] adalah satu program yang bagus untuk dimulakan," ujarnya.

Tambahnya, usaha memastikan sumber lestari untuk bahan mentah hanyalah satu permulaan buat syarikat berusia 135 tahun tersebut.

Antara inisiatif lestari lain syarikat itu ialah menjana elektrik daripada tenaga suria melalui panel solar di bumbung Pusat Pelawat Royal Selangor.

Pengasas Trentim Wood, Sii Tung Hu sebaliknya mengemukakan perspektif yang berbeza.

Selain menerajui syarikatnya yang telah menjalankan perniagaan lebih dari dua dekad, veteran industri kayu itu berpendapat bahawa tanpa keberlanjutan, tidak ada kelangsungan perniagaan.

"Perkara paling penting mengenai pensijilan adalah ia memelihara hutan untuk generasi akan datang," ujarnya.

Manfaat lain dari pensijilan yang diketengahkannya adalah ia membuka peluang baharu seperti akses ke pasaran, terutama Eropah dan memastikan bahawa syarikat tetap relevan dengan pelanggan.

"Selain tekanan pasaran untuk membekalkan sumber yang lestari kepada pembeli, syarikat kayu dan pengeluar produk berkaitan kayu turut merasa tekanan daripada institusi kewangan. Oleh itu, pensijilan mampu memberi akses kewangan kepada mereka," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain