suria

PSPN memberi tumpuan terhadap industri, ke arah transformasi digital bagi penjimatan masa, kos dan tenaga

MPC melalui Nexus Produktiviti Perkhidmatan Profesional (PSPN) mewujudkan inisiatif berkaitan teknologi bagi membantu industri perkhidmatan profesional untuk terus maju dan berdaya saing.

UNTUK terus kekal relevan, sesebuah syarikat mahupun organisasi perlu meningkatkan produktiviti bagi mencapai kelestarian ekonomi.

Apabila bercakap mengenai produktiviti, jelas sekali perkara paling penting untuk dititikberatkan adalah teknologi.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai masih tak tahu... Productivity1010 solusi era digital, MPC atur strategi ajak komuniti niaga teroka peluang mega

Setiap industri profesional di negara ini yang kebanyakannya terdiri daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) perlu melakukan transformasi dengan mengaplikasikan atau menerapkan teknologi dalam organisasi masing-masing, seiring era transformasi digital.



Sehubungan itu, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melalui Nexus Produktiviti Perkhidmatan Profesional (PSPN) mewujudkan inisiatif berkaitan teknologi bagi membantu industri perkhidmatan profesional dapat terus maju dan berdaya saing.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Plytec Holding Sdn Bhd Ts. Louis Tay, strategi yang berkesan perlu dirancang dengan baik seiring dengan inisiatif transformasi digital.

"Kita perlu memberi lebih tumpuan terhadap digitalisasi seawal mungkin, supaya satu rantaian digital boleh diwujudkan dari satu sumber tunggal, melalui keseluruhan rantaian.

"Dari segi perkhidmatan profesional yang diwujudkan untuk pembekal, pengilang dan kontraktor, setiap kandungan digital yang dibuat haruslah boleh diguna pakai secara langsung.

Ketua Pegawai Operasi Plytec Holding Sdn Bhd Ts. Louis Tay (kiri) dan Pengarah Urusan Plytec Holding Sdn Bhd, Ts. Yang Kian Lock.

"Strategi inilah yang kami gunakan seiring transformasi digital yang sememangnya akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti. Apabila produktiviti ditingkatkan, maka kelestarian ekonomi dicapai.

"Pihak Kerajaan menggalakkan transformasi digital bagi membantu industri supaya tidak ketinggalan dari segi teknologi. Industri hendaklah bekerjasama dengan kerajaan, malahan harus bersama membantu industri lain untuk sama-sama berubah," katanya.

Menurut Louis, dari segi perkhidmatan profesional yang berkaitan dengan industri kejuruteraan, salah satu perkara paling penting dalam transformasi digital adalah ‘Integrated Digital Delivery’ atau IDD.

IDD adalah teknologi dan proses inovatif untuk merancang dan mengurus projek pembinaan, di mana ia mengandungi pelbagai maklumat geometri, fungsi, ciri atau parameter yang dihasilkan melalui beberapa pengisian berkaitan.

Melalui IDD, segala maklumat berkaitan material, skop kerja, permasalahan yang berlaku di dalam bangunan dapat dikenalpasti dengan mudah. Pendek kata, IDD mampu menjimatkan masa, kos dan tenaga.

Dari segi perkhidmatan profesional yang berkaitan dengan industri kejuruteraan, salah satu perkara paling penting dalam transformasi digital adalah ‘Integrated Digital Delivery’ atau IDD.

"Semua ini akan diintegrasikan dalam satu konteks asas infrastruktur digital iaitu Building Information Modelling (BIM) sebagai langkah pertama untuk bergerak maju dalam bidang ini.

"Suatu hari nanti, penerapan BIM akan menjadi satu norma di mana maklumat boleh dicapai oleh pelanggan dengan mudah. Sekiranya kita sebagai pemaju tidak berupaya memenuhi keperluan ini, pemaju lain pula yang akan mendahului, dan inilah cabarannya," katanya.

Sementara itu menurut Pengarah Urusan Plytec Holding Sdn Bhd, Ts. Yang Kian Lock, setiap industri perlu mengikut piawaian antarabangsa iaitu British Standards Institution (BSI) 19650 bagi menguruskan maklumat di sepanjang rantaian nilai dengan menggunakan BIM.

"Kita perlulah mempunyai satu standard yang bersesuaian. Dalam konteks ini, adalah British Standard Institution (BSI) 19650. Semua pemain industri perlulah mengikut standard berkenaan.

"Dengan memenuhi standard di sepanjang rantaian nilai, ia akan dapat membantu integrasi dari segi perisian dan lain-lain melalui satu platform koordinasi iaitu 'common data environment'," ujar Yang.

Setiap industri perlu mengikut piawaian antarabangsa iaitu British Standards Institution (BSI) 19650 untuk menguruskan maklumat sepanjang rantaian nilai yang dibina menggunakan BIM.

Bagaimanapun dalam transformasi digital khususnya tekonologi IDD, pastinya terdapat kekangan tertentu di kalangan pemain industri terutamanya kewangan, sumber manusia dan pengetahuan.

"Cabaran sebagai pemain industri adalah dari segi sumber dan perbelanjaan. Cabaran lain adalah berkaitan sumber manusia. Bukan semua pekerja inginkan perubahan, ” ujarnya lagi.

Proses ini pastinya memerlukan penglibatan semua pihak berkepentingan bermula daripada pemaju, arkitek, jurutera sehinggalah kepada fasilitator agar semua pihak mendapat manfaat.

"Kami amat komited untuk berkongsi pendapat, pengalaman, langkah-langkah dan pengetahuan dengan industri sebagai tanggungjawab sosial kami. Menerusi PSPN, kita mewujudkan kumpulan pengetahuan industri dalam IDD.

"Kita perlulah memupuk kesedaran, menyampaikan maklumat, mendidik rakan niaga terhadap kepentingan teknologi kepada syarikat. Bagi maksud ini, kami memberi memotivasi, menukar corak pemikiran mereka untuk terus belajar,"ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain