suria

Penyatuan Umno dan DAP tidak akan berlaku, Hishammuddin beri bayangan PRU15 dalam masa terdekat

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Sembrong berkata, semua pihak perlu bekerja keras memastikan kemenangan parti. Foto: Facebook Hishammuddin Hussein.

PASTI ramai dalam kalangan kita tertanya-tanya mengenai tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) yang seterusnya.

Terbaharu, Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi bayangan bahawa PRU ke-15 (PRU15) mungkin berlangsung tidak lama lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin akui kempen PRN Sabah antara punca kes Covid-19 naik mendadak, pilihan raya “sesuatu yang tak dapat dielakkan” selepas DUN bubar

"Kita tiada pilihan selain daripada menjadikan mesyuarat ini sebagai gelanggang bersama-sama mencorak strategi yang ampuh, mempersiapkan senjata dan kelengkapan, menguatkan mental, mengentalkan jiwa, membina keberanian dan paling utama merapatkan saf dan barisan.

"Ini bagi memastikan langkah kita ke medan pertempuran sederap dan sehaluan. Bak kata pepatah, ringan sama dijinjing, berat sama dipikul, ke gunung sama kita daki, ke lurah sama kita turuni," katanya memetik laporan sebuah portal berita pada Ahad.

Beliau dilapor berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Sembrong di Johor pada Ahad.

Hishammuddin yang juga Ketua Umno Bahagian Sembrong berkata, semua pihak perlu bekerja keras memastikan kemenangan parti.

Justeru katanya, beliau mahu ahli Umno kawasan itu terlibat dalam menyumbang setiap gerak kerja, persiapan dan pelaksanaan strategi ke arah menjamin kemenangan parti.

"Kita perlu menang bukan untuk saya sebagai ahli Parlimen atau Ketua Bahagian, bukan juga untuk mana-mana individu dalam Umno.

Beliau memberi bayangan bahawa PRU ke-15 (PRU15) mungkin berlangsung tidak lama lagi. Foto: Facebook.

"Sebaliknya kita perlu menang demi maruah dan kelangsungan parti demi mengukuhkan semula kepercayaan rakyat terhadap Umno, selain memastikan kesucian Islam serta hak bangsa Melayu di negara ini terus terbela," katanya.

Hishammuddin yang juga Menteri Luar turut menegaskan bahawa kesucian Islam dan bangsa Melayu menjadi pertimbangan terbesar dalam penubuhan Umno sambil menyatakan kebimbangan tindakan segelintir pihak yang cuba menghalalkan kerjasama dengan DAP.

"Penyatuan Umno dan DAP tidak akan berlaku sampai bila-bila dan itu sebabnya kita perlu menanam tekad sedalam-dalamnya.

"Selagi kita menumpahkan taat setia kepada Umno, selagi fikiran kita masih waras, selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah kita akan berjuang memastikan penyatuan Umno dan DAP tidak akan berlaku," katanya.

Beliau juga terus mengingatkan ahli Umno bahawa meskipun lumrah politik yang dinamik dan sentiasa berubah, parti itu tidak boleh berubah pendirian.

Bahkan, tegasnya, mana-mana pihak yang ikhlas menawarkan kerjasama dengan Umno perlu bersedia berkongsi matlamat sama.

"Islam mesti dimartabatkan, Melayu diutamakan dan hak kaum lain dihormati serta disantuni selayaknya, manakala Raja-raja Melayu dipertahankan dan kebajikan rakyat didahulukan.

"Jangan kerana menginginkan kuasa, kita sanggup menggadai apa yang selama ini diperjuangkan dan menjadi pegangan kerana apa juga keadaan, prinsip kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi mesti diamalkan sebaiknya," katanya. - Sinar Harian.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain