suria

Hujan lebat berterusan di beberapa negeri... amaran cuaca bahaya di Pantai Timur, Johor

Tanah runtuh di Bentong susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu. Foto: The Star

AMARAN cuaca berbahaya dengan hujan lebat yang berterusan di beberapa negeri di semenanjung telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Menerusi Facebooknya, MetMalaysia memaklumkan bahawa daerah Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang; dan Mersing di Johor diletakkan amaran cuaca merah ekoran hujan lebat dan berterusan.

Beberapa daerah lain di Terengganu, Pahang dan Johor dalam keadaan berjaga-jaga; dengan Kemaman, Raub, Bentong, Bera, Segamat dan Kluang menerima hujan lebat yang berterusan sehingga esok (Selasa).

Hujan lebat juga dijangka di beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun), Pahang (Tanah Tinggi Cameron dan Lipis) hingga esok (Selasa).

Hujan lebat juga dijangka dialami di Ipoh hari ini, yang melibatkan daerah Kinta, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.

Daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor di Selangor; dan Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Baru di Johor juga akan mengalami hujan lebat hari ini.

Sementara itu di Sabah, hujan lebat dijangka berlaku di Kota Belud, Sandakan dan Kudat.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, MetMalaysia memaklumkan keadaan ini boleh menyebabkan banjir kilat, terutama di kawasan rendah.

Ia juga mengatakan bahawa angin kencang timur laut berkelajuan lebih dari 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor timur, Sarawak, Sabah dan Labuan.

Portal Infobanjir dari Jabatan Pengairan dan Saliran juga menunjukkan bahawa paras air sungai di beberapa negeri, terutama di Pantai Timur, melebihi tahap bahaya.

Pada pukul 5 petang semalam, lima negeri diklasifikasikan sebagai mempunyai paras air berbahaya iaitu Johor, Pahang, Terengganu, Selangor dan Sabah.

Sementara itu paras air sungai di Negeri Sembilan dan Sarawak dikategorikan sebagai peringkat 'amaran', sementara Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang pula pada peringkat 'berjaga-jaga'. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain