EMPAT penjaja dikenakan saman kerana menjual jeruk mangga dan jambu batu di lampu isyarat, dekat Taiping. Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, keempat-empat individu itu, berusia antara 18 dan 22 tahun, dikenakan saman antara RM150 hingga RM2,000 kerana melakukan kesalahan berkenaan di dua persimpangan lampu isyarat pada Rabu lalu, sekitar pukul 6 petang. "Kami telah memberi amaran dan menasihati mereka untuk tidak berniaga di lampu isyarat sejak Oktober tahun lalu kerana ini adalah kesalahan di bawah 10A (1) LN 166/59 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya. "Kami tidak mengambil tindakan ketika itu tetapi kami terus memantau keadaan dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. Osman berkata polis menerima banyak aduan daripada orang awam mengenai kumpulan penjaja muda tersebut, yang dilihat menghalang lalu lintas. "Mereka akan menjual dengan pergi dari kereta ke kereta dan mengetuk tingkap. "Perbuatan seperti itu perlu dihentikan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini, yang boleh membahayakan nyawa penjaja dan orang awam," tambahnya. - THE STAR Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!