suria

Semakin sukar dikawal, kerajaan laksanakan semula PKP di 6 negeri bermula Rabu

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

DIKEMASKINI

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, berkuatkuasa pada 13 Januari (Rabu) ini.

Dalam satu perutusan khas pada Isnin, Muhyiddin berkata pelaksanaan PKP akan dilaksanakan dalam tempoh 14 hari iaitu sehingga 26 Januari depan dengan melibatkan tiga peringkat.

"Pertama, PKP ke atas enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

"Kedua, PKP Bersyarat (PKPB) ke atas enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

"Ketiga, PKP Pemulihan (PKPP) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut," katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung itu.

Serentak dengan pelaksanaan PKP itu, Muhyiddin mengumumkan pergerakan rentas negeri adalah tidak dibenarkan, manakala bagi kawasan PKP, pergerakan rentas daerah juga tidak dibenarkan.

"Susulan larangan pergerakan merentas negeri dan daerah ini, operasi sekatan jalan raya (SJR) akan mula berkuatkuasa pada jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021. Bagi negeri yang dilaksanakan PKP, pergerakan anda adalah terhad di dalam 10 kilometer radius sahaja," ujarnya.

Menurut Muhyiddin, bagi mengurangkan risiko jangkitan dan memutuskan rantaian Covid-19, aktiviti sosial yang melibatkan kumpulan atau beramai-ramai seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan termasuk Thaipusam, mesyuarat, seminar, kursus dan sukan berkumpulan adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Bagaimanapun ujarnya, bagi negeri-negeri di bawah pelaksanaan PKPP, aktiviti sosial adalah dibenarkan, tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat.

Untuk rekod, kerajaan sebelum ini melaksanakan PKP di seluruh negara bermula 18 Mac 2020 bagi membendung penularan virus Covid-19.

Ia dibuat secara berperingkat, dengan PKPB dikuatkuasakan bermula 1 Mei 2020 sehingga ditamatkan pada 9 Jun, sebelum digantikan dengan PKPP bermula 10 Jun 2020 sehingga kini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain