SELAMA 12 hari dirawat selepas disahkan positif Covid-19, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed akhirnya dibenarkan keluar dari hospital pada Khamis. Menerusi catatan di Facebook, Mustapa atau lebih dikenali sebagai Tok Pa mendedahkan dirinya melalui tempoh yang mencemaskan apabila dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tiga hari. ARTIKEL BERKAITAN: Tok Pa disahkan positif Covid-19 "Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT, setelah 12 hari bertarung di HRPZ II (Hospital Raja Perempuan Zainab II) dengan pemantauan rapi oleh doktor, jururawat dan barisan hadapan, pada jam 4.30 petang ini (Khamis) saya dibenarkan keluar hospital. "Dalam tempoh 12 hari di hospital, sudah pasti yang paling mencemaskan ialah semasa tiga hari di ICU, apabila ada sedikit masalah pernafasan dan kekurangan tenaga. "Namun dengan pemantauan rapi doktor dan jururawat, serta keyakinan penuh kepada ketentuan Allah SWT, Alhamdulillah saya beransur pulih. Sekarang saya perlu lebih banyak berehat, kurangkan kerja dan tidak boleh bertemu ramai orang," katanya. Dalam masa yang sama, Ahli Parlimen Jeli tersebut mengatakan bahawa pandemik Covid-19 adalah ketentuan Tuhan supaya manusia insaf. "Ancaman ini serius, perlu diambil berat oleh rakyat. Ketakutan kepada Covid-19 biar sebati dengan diri kita kerana kita masih belum memenangi peperangan ini," katanya. Pada 10 Januari lalu, pejabat Mustapa menerusi satu kenyataan mengesahkan pemimpin berusia 70 tahun itu positif Covid-19. Beliau sebelum ini dilaporkan telah menghadiri mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang turut dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri Kabinet yang lain. Beberapa menteri lain kemudian turut disahkan positif Covid-19 selepas beliau. - THE STAR Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!