PERCAYA atau tidak, dengan kepadatan penduduk di bandar-bandar semakin bertambah, bangunan pencakar langit di Malaysia bukan sahaja diperlukan bagi kegunaan pejabat dan kediaman semata-mata. Sebaliknya, terdapat permintaan dan keperluan untuk mendirikan hospital bertingkat tinggi sebagaimana negara-negara dengan kepadatan penduduk yang tinggi seperti Hong Kong dan Singapura. Mengambil kira faktor tersebut, Nexus Produktiviti Penjagaan Kesihatan Swasta (PHPN) iaitu suatu inisiatif di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah bekerjasama rapat bersama Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), bahagian di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membangunkan garis panduan untuk pembinaan hospital swasta bertingkat tinggi. Dinamakan sebagai 'Handbook of Technical Design Reference for Disaster Preparedness in Setting Up New High-Rise Private Hospital', inisiatif eksklusif ini dibawakan oleh PHPN bagi memastikan setiap hospital swasta mempunyai satu garis panduan yang lebih jelas dalam melaksanakan tanggungjawab serta peranan untuk membangunkan sesebuah hospital bertingkat tinggi. Sehingga kini, pelbagai pakar rundingan awam telah terlibat dalam menghimpunkan idea dan pandangan daripada pihak-pihak berkepentingan bagi memastikan satu garis panduan yang komprehensif dapat digariskan untuk manfaat semua pihak, termasuk Arte Axis Design Group, sebuah firma arkitek yang mempunyai kepakaran dalam persekitaran bangunan hijau dan 'Salutogenic'. Pengarah Projek & Admin Arte Axis Design Group, Syamsul Arman Yap berkata, hospital bertingkat tinggi (high-rise hospital) bukanlah suatu perkara baharu, malahan pihak KKM telah sekian lama menerima permohonan daripada pemain industri hospital untuk membina bangunan tinggi. Ini kerana katanya, keperluan itu dapat dilihat di kawasan-kawasan pusat bandar terutamanya Kuala Lumpur, Shah Alam di Selangor dan Johor Bahru di Johor berikutan kepadatan lokasinya sehingga menyebabkan nilai hartanah semakin tinggi. "Jadi, hanya terdapat satu sahaja cara iaitu to go up apabila tiada peluang untuk melebar. Inilah punca utama bagi pemain industri yang meminta pihak KKM untuk membenarkan pembinaan hospital bertingkat tinggi. "Bila bercakap tentang hospital bertingkat tinggi, ia tertakluk di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998, di mana setiap hospital mestilah mempunyai Pelan Pengurusan Bencana Hospital (HDMP) bagi setiap kemudahan penjagaan kesihatan swasta atau hospital swasta," katanya dalam satu wawancara bersama mStar, baru-baru ini. Pemerkasaan Industri Menurut senarai semak permohonan 'Pra-Penubuhan' (Pre-Establishment) bagi hospital swasta yang cadangan bangunan melebihi 12 aras klinikal atau melebihi 48 meter dari aras bawah, ianya perlu dikemukakan dengan HDMP dan pengesahan kestabilan bangunan yang munasabah, praktikal dan komprehensif. Kegagalan pemohon mengemukakan HDMP bagi hospital bertingkat tinggi baru akan menyebabkan permohonan tidak akan diproses selanjutnya. Arman berkata, satu lawatan industri dan fact finding mission ke Hong Kong yang disertai oleh pasukan yang terdiri daripada pihak KKM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta pihak lain iaitu perunding seperti arkitek, jurutera serta perunding kemudahan kesihatan, pada April 2019. Syamsul Arman Yap. Beliau turut menambah, bahawa misi tersebut melibatkan lawatan ke beberapa hospital di Hong Kong, diantaranya adalah Hong Kong Sanatorium and Hospital setinggi 38 tingkat, St Paul Hospital dan Hong Kong Adventist Hospital, masing-masing dengan ketinggian melebihi 20 tingkat. Lawatan turut sama dilakukan di jabatan kesihatan, pihak berkuasa hospital dan jabatan bomba di negara itu. "Apa yang kami dapati adalah Hong Kong memberikan pemerkasaan (empowerment) kepada industri. Ia secara tidak langsung menggalakkan pengendali hospital untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan badan pengawalseliaan," katanya sambil menambah bahawa kerjasama tersebut antaranya turut melibatkan beberapa siri latihan kebakaran pada setiap tahun. Selain kolaborasi diantara badan pengawalselia dan pemain industri, Arman menjelaskan bahawa mereka turut mempelajari beberapa aspek serta proses pemindahan pesakit/orang ke tempat yang selamat semasa situasi kecemasan. "Di sini (Malaysia), apabila berlakunya situasi kecemasan, kita akan menggunakan kemudahan tangga kecemasan daripada tingkat atas ke tingkat bawah. Tapi di Hong Kong, mereka memberi tumpuan kepada pemindahan secara mendatar (horizontal). "Maksudnya di setiap satu tingkat, sekiranya berlaku kebakaran atau situasi kecemasan di sudut sebelah kiri, pertama sekali tumpuan mereka adalah memindahkan kesemua pesakit/orang ke bahagian di sebelah kanan di aras yang sama iaitu ke tempat paling selamat supaya pasukan keselamatan mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk mengawal situasi di kawasan yang kecil (kecemasan) itu," katanya. Dalam konteks hospital, katanya sekiranya tiada keperluan yang mendesak, pesakit sewajarnya tidak dialihkan dari satu tingkat ke tingkat yang lain setiap kali berlakunya kecemasan, ini kerana kaedah penyelamatan itu boleh dilakukan di tingkat yang sama. "Ia sekali gus dapat mengurangkan pergerakan pesakit, malah ia lebih mudah untuk dikendalikan serta tidak perlu melibatkan banyak tingkat yang lain. Ini kerana bagi setiap hospital, kita mempunyai pelbagai keadaan pesakit, ada diantaranya yang terlantar di katil, ada yang tidak boleh bergerak, ada yang dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuklah pesakit yang menggunakan mesin sokongan hayat. "Jadi, adalah amat sukar untuk memindahkan setiap pesakit daripada satu tingkat ke tingkat lain. Inilah yang kita mahukan daripada pihak KKM dan CKAPS untuk segera menggalakkan pemain industri supaya mempraktikannya," katanya sambil menambah bahawa ia memerlukan perancangan dan infrastruktur dengan memberi penekanan terhadap rekabentuk hospital. Nexus Produktiviti Penjagaan Kesihatan Swasta (PHPN) bersama wakil industri semasa lawatan di Hong Kong Sanatorium and Hospital. Kesediaan Urus Bencana Arman turut berkata, garis panduan tersebut turut menyediakan kaedah inklusif mengenai 'submission' sebagaimana yang dinasihatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengenai aspek pengurusan bencana. Secara keseluruhan, garis panduan tersebut mengandungi empat perkara iaitu "High-Rise Hospital Design Principles","Risk Assessment","Prevention and Evacuation Strategy" dan "Operational Planning". Mengenai handbook, beliau menyatakan bahawa ianya berperanan sebagai satu garis panduan bagi setiap pemaju dan juga pengendali hospital swasta. Sebaliknya, katanya, pemain industri diberikan kebebasan untuk untuk mencadangkan kaedah serta inisiatif berhubung kesediaan dalam pengurusan bencana mereka sendiri sebagai tambahan kepada empat perkara yang dinyatakan di dalam handbook tersebut. "Ini kerana kita melakukan pemerkasaan kepada industri. Seandainya mereka hendak membina sebuah hospital bangunan tinggi, apa yang pihak KKM galakkan adalah pengisytiharan diri mengenai apakah dan bagaimana metodologi kecemasan untuk dilaksanakan dalam reka bentuk dan apakah sistem yang mahu digunakan. "Dengan mematuhi undang-undang, berdasarkan piawaian Malaysia serta akta-akta dan keperluan binaan lain, apakah (inisiatif) tambahan lain yang akan dilaksanakan bagi menjadikan hospital sebagai sebuah tempat yang selamat bukan sahaja bagi pesakit, bahkan bagi profesional penjagaan kesihatan seperti doktor termasuklah staf pengurusan dan pelawat," katanya. Nexus Produktiviti Penjagaan Kesihatan Swasta (PHPN) bersama wakil industri semasa pertemuan dengan Jabatan Kesihatan di Hong Kong. Menurut Arman, Hospital Pakar Wanita dan Kanak-Kanak Avisena di Shah Alam, Selangor merupakan hospital swasta bertingkat tinggi yang pertama di negara ini mendapat lesen untuk dibenarkan beroperasi. Menjadikan hospital yang beroperasi sejak Mei 2019 itu sebagai contoh, beliau berkata, pesakit berkenaan terdiri daripada wanita, wanita hamil, bayi dan kanak-kanak. "Anda akan tahu kategori pesakit. Ini kerana cara pengendalikan bayi, bayi baru lahir dan orang dewasa adalah amat berbeza sama sekali. Peralatan juga berlainan. "Kerana itulah KKM mahu semua perancangan dirancang di peringkat awal supaya ianya tidak perlu lagi pengubahsuaian kerana setiap pelaburan oleh hospital swasta membabitkan kos," katanya. Sehubungan itu, katanya, handbook tersebut membolehkan pemain industri bebas untuk merekabentuk, namun pada masa sama perlu mengambil kira setiap aspek keselamatan dan kepentingan setiap kumpulan individu di hospital. "Adalah diharapkan semoga suatu hari nanti, pemain industri akan dapat mengawal selia sendiri, pemain industri sendiri perlu mempunyai pengetahuan apa sebenarnya yang perlu dilakukan, bagi memastikan industri selamat dan beban kepada badan pengawal selia dapat dikurangkan. "Ini bermakna pada setiap peringkat permohonan akan menjadi lebih pantas dan semakin kurang keperluan enforcement (penguatkuasaan). Industri sudah membuat penguatkuasaan sendiri. "KKM menuju ke arah itu. Namun, masih banyak peraturan dan undang-undang serta akta untuk mentadbir keseluruhan industri. Adalah diharapkan kita akan dapat melihat ia direalisasikan pada masa akan datang," kata Arman.