suria

Berita baik buat warga Wilayah Persekutuan! 5,750 kampit beras percuma setiap minggu untuk isi rumah B40

Program MyBeras@Wilayah itu dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan. Gambar hiasan.

BERITA baik buat isi rumah B40 di Wilayah Persekutuan! Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad mengumumkan pemberian sebanyak 5,750 kampit beras percuma setiap minggu buat golongan berkenaan.

Menurut beliau, kampit beras mula disumbangkan kepada penduduk daripada kumpulan keluarga B40 di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bermula hari ini.

"Walaubagaimanapun, saya ingin mengingatkan dalam proses pengagihan, jangan lupa perlu kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tertentu yang ditetapkan demi menjaga diri kita dari dijangkiti Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Pelancaran Program Kemiskinan Bandar (5My) Wilayah Persekutuan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 yang berlangsung secara maya, Ahad malam.

Tambah Muhyiddin, inisiatif menerusi Program MyBeras@Wilayah itu dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan.

Muhyiddin berkata, sejak program 5My dilaksana bermula tahun lalu, lebih 35,000 individu termasuk ketua isi rumah serta 331 perumahan kos rendah di Kuala Lumpur sudah menerima bantuan langsung dan manfaat daripada inisiatif itu.

Selain MyBeras@Wilayah, My5 juga menampilkan inisiatif MYJobs@Wilayah; MYGrocer@Wilayah; MYSchoolBus@Wilayah; MYMedic@Wilayah dan MYFood@Wilayah.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain