suria

Enam kategori pelajar berkeperluan dibenar kembali ke kampus bermula 1 Mac

MKN bersetuju membenarkan enam kategori pelajar berkeperluan kembali ke kampus secara fizikal bermula 1 Mac. Gambar hiasan

MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) pada Ahad bersetuju membenarkan enam kategori pelajar berkeperluan kembali ke kampus secara fizikal bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran PdP secara hibrid bermula 1 Mac ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada Ahad, enam kategori berikut adalah pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom (UK); pelajar Berkeperluan Khas (OKU); pelajar yang menduduki peperiksaan MUET, antarabangsa dan badan profesional; pelajar peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pasca siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas.

Juga pelajar yang tidak mempunyai akses untuk PdP dalam talian turut dibenar ke kampus pada tarikh yang dinyatakan.

"Pelaksanaan PdP secara hibrid di dalam kampus boleh dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mengutamakan keselamatan serta kebajikan pelajar.

"Pelajar yang tidak termasuk dalam kategori pelajar berkeperluan pula akan meneruskan PdP secara dalam talian," demikian menurut kenyataan berkenaan.

Para pelajar berkeperluan dari Semenanjung yang akan pulang ke kampus IPT di Sabah dan Sarawak diwajibkan untuk menjalani Ujian Swab yang akan dibiayai oleh KKM.

"Bagi pelajar yang tiba di Sarawak, mereka diwajibkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang ke kampus.

"Kos makan minum dan kuarantin mulai 1 Mac 2021 akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sarawak," katanya.

Sementara itu, bagi pelajar berkeperluan dari Sabah dan Sarawak ke kampus di semenanjung, mereka akan ditempatkan di pusat pengasingan yang ditentukan oleh IPT masing-masing bagi memastikan bebas daripada sebarang gejala Covid-19.

Para pelajar boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai urusan kemasukan ke IPT melalui Bilik Gerakan Covid-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 03-8870 6777/6949/ 6623/ 6628, melayari laman web IPT atau terus menghubungi IPT masing-masing.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain