suria

Kes dera kanak-kanak: Ibu kandung pernah jalani rawatan psikiatri biasa, tapi bukan sakit mental - Polis

Pasangan suami isteri direman tujuh hari selepas dipercayai mendera kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sehingga meninggal dunia dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, petang Jumaat.

IBU kandung kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun yang meninggal dunia disyaki akibat didera dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, Melaka, pernah mendapatkan rawatan pakar psikiatri.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ACP Mohd Sukri Kaman.

Bagaimanapun menurut beliau, suspek wanita berumur 32 tahun itu bukan pesakit mental walaupun pernah mendapatkan rawatan psikiatri biasa pada 2019.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau tak mampu jaga, tak payahlah ambil” - Selepas 3 bulan diserah kepada ibu kandung, Amir pergi jua... luluh hati ibu angkat dapat tahu didera punca kematian

"Ya, suspek pernah mendapatkan rawatan, tapi pada 2019 dan rawatan itu diterima di Hospital Melaka, namun hanya rawatan biasa, yang mana wanita itu tidaklah (mental) seperti yang didakwa," katanya memetik Harian Metro.

Terdahulu pada Sabtu, tular di media sosial selepas seorang pengguna Twitter telah memuat naik status meminta netizen tidak sewenang-wenangnya mengecam ibu kandung kanak-kanak berkenaan dan melabelnya sebagai pembunuh.

Menerusi satu bebenang, pengguna Twitter itu berkata suspek sememangnya sejak dulu lagi sudah mempunyai masalah mental dan turut mempunyai surat yang mengesahkan tentang penyakit yang dihadapinya itu.

Dakwanya, dia mengenali suspek selain menyatakan bahawa ayah tiri kanak-kanak malang itu sebenarnya merupakan seorang yang panas baran dan kaki pukul.

Pada Jumaat, negara digemparkan dengan penemuan mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang.

Namun siasatan awal polis mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa, dipercayai menjadi mangsa dera.

Justeru, ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak itu masing-masing berusia 32 dan 38 tahun direman tujuh hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan kes dera

Sehingga kini, bedah siasat masih dijalankan ke atas mayat kanak-kanak malang tersebut dan dijangka selesai sebelum Maghrib.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain