suria

Jenazah Amir akan dikebumi di Melaka... hajat keluarga angkat tak kesampaian, reda keputusan waris – “Kami menang di hati Amir”

(kiri) Jenazah Allahyarham Amir akan dikebumikan di Jasin, Melaka. (kanan) Ibu angkat arwah, Norlida pada Isnin yang sedih dengan pemergian itu. - foto instagram tuhfahnazira

RAKYAT Malaysia ketika ini diselubungi dengan kesedihan atas pemergian seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, dipercayai menjadi mangsa dera.

Jenazah mangsa, Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek atau Amir dikatakan akan dikebumikan di Jasin, Melaka, pada Isnin.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh salah seorang ahli keluarga angkat kanak-kanak itu menerusi laman Instagram tuhfahnazira pada pagi Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak putus berdoa, keluarga angkat harap dapat bawa pulang jenazah Amir ke Rawang - "Keputusan dibuat oleh ibu kandung, harap Allah lembutkan hatinya..."

ARTIKEL BERKAITAN: "Kalau tak mampu jaga, tak payahlah ambil" - Selepas 3 bulan diserah kepada ibu kandung, Amir pergi jua... luluh hati ibu angkat dapat tahu didera punca kematian

"Assamualaikum semua... insyaAllah hari ini jenazah Amir akan dikebumikan di Jasin, Melaka (belah pihak waris kandung Amir).

"Pagi ni urusan tuntutan jenazah di Hospital Melaka akan dilaksanakan," kata wanita itu yang tidak mengulas lanjut bilakah jenazah akan dikebumikan, namun meminta semua pihak mendoakan urusan pengebumian dipermudahkan.

Memetik laporan Sinar Harian, jenazah akan dibawa ke Masjid Al-Hidayah Chabau di Jasin dan akan disolatkan di Surau As Asyakirin, Simpang Bekoh sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh.



Pengumuman yang dibuat oleh Tuhfah Nazira di instagram.

Wanita itu mendakwa, pihaknya pada masa ini masih belum dapat mengetahui lebih lanjut mengenai keputusan bedah siasat mangsa.

"Itu kita serahkan pada pihak polis untuk menjelaskan semuanya," katanya.

Dalam pada itu, Tuhfah Nazira turut berharap agar semua pihak mendoakan ibunya, Norlida Abu Hassan agar diberikan kekuatan apabila jenazah diputuskan dikebumikan di Melaka.

"Doakan umi kuat dengan keputusan di Melaka. Kami sekeluarga tiada hak dan kuasa apa-apa, kami sekeluarga berharap pada kuasa Allah saja.

"Apa yang kami boleh buat melainkan dengan pujuk rayu kepada pihak sana," katanya yang memaklumkan bahawa pihaknya telah berusaha untuk mendapatkan keizinan daripada waris agar jenazah dikebumikan Selangor.

"Kami mungkin kalah dengan mereka tentang itu, tetapi kami menang di hati Amir dan semua. Allahuakhbar," tambahnya.

Terdahulu, dilaporkan bapa angkat mangsa iaitu Md Tarmidi Yaaccob berkata, dia dan keluarganya tidak putus-putus berdoa dan masih terus berharap dapat mengebumikan jenazah anak angkat yang mesra dipanggil Amir, di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.



Keadaan ibu angkat arwah yang bersedih cuba ditenangkan.

Menurutnya, dia dan keluarga juga telah berjumpa dengan nenek dan bapa saudara kanak-kanak itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, pada Sabtu dan isterinya merayu untuk membenarkan membawa pulang jenazah Amir.

"Tapi mereka hanya memberitahu keputusan akan dibuat oleh ibu kandung sendiri yang masih direman polis.

"Pagi tadi kami sampai bilik mayat, Zu (ibu kandung) pun dibawa polis untuk membuat pengecaman mayat anak dan dia hanya menggelengkan kepala. Saya harap Allah lembutkan hatinya," katanya memetik Sinar Harian.

Untuk rekod, Md Tarmidi dan keluarganya yang menetap di Rawang memelihara Amir selama enam tahun sebelum menyerahkan kanak-kanak tersebut kepada ibu kandungnya yang menetap di Melaka, pada Oktober lalu, selepas wanita berkenaan mahu mengambil semula anak lelakinya itu.

Dalam pada itu menurut Mad Tarmidi, dia dan keluarga reda jika keputusan untuk membawa balik jenazah tidak berpihak kepada mereka.



Gambar terakhir Norlida dan anak perempuannya, Tuhfah Nazira yang dirakam ketika kali terakhir bertemu Amir, November lalu.

Berdasarkan hasil bedah siasat, polis mendedahkan terdapat luka kecil baharu sebesar tiga sentimeter di bahagian belakang kepala kanak-kanak yang meninggal dunia dipercayai didera selain lebam dan kesan kecederaan pada anggota badan mangsa.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa selama kira-kira 11 jam.

Terdahulu, dilaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun meninggal dunia selepas dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya, petang Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, kanak-kanak malang itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain