suria

Individu makan telur penyu diburu, ganjaran RM10,000 menanti pemberi maklumat

Yee membuat tawaran sebagai menyokong usaha Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk menangkap orang yang terlibat dalam tuduhan itu.

SEORANG ahli konservasi menawarkan RM10,000 kepada sesiapa sahaja yang dapat menyalurkan maklumat mengenai orang yang terlibat dalam menghidangkan telur penyu sewaktu majlis makan malam perjumpaan yang dikaitkan dengan ahli keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Menurut Alexander Yee, dia membuat tawaran sebagai menyokong usaha Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk menangkap orang yang terlibat dalam tuduhan menghidangkan telur penyu dalam acara itu.

"Usaha pemuliharaan dan aktiviti penguatkuasaan harus berjalan seiring, jika tidak, usaha pemuliharaan akan sia-sia.

"Untuk tujuan ini, dalam usaha berterusan saya untuk memberikan sokongan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah, saya akan membuat janji peribadi ganjaran RM10,000 sebagai pertukaran maklumat yang membawa kepada penangkapan orang yang bertanggungjawab atas kejadian ini, ” kata Yee yang merupakan presiden Friends and Sea Turtles Education and Research (Foster).

Dalam pada itu, Yee berkata dia gembira kerana kerajaan negeri memerintahkan siasatan penuh ke atas dakwaan melibatkan ahli keluarga bekas Adun sewaktu Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Dia menjawab kenyataan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin pada hari Khamis bahawa Jabatan Hidupan Liar sedang menyiasat kes tersebut tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Malah, dia memberi jaminan bahawa siasatan penuh akan dilakukan.

Yee berkata, Foster dan Hidupan Liar Sabah telah bekerjasama di bawah Memorandum Persefahaman lima tahun untuk kerja-kerja pemuliharaan penyu laut di Pulau Libaran di Sandakan sejak Julai 2018.

Yee, yang membiayai hampir RM1 juta untuk usaha pemuliharaan setakat ini berkata, mereka telah berjaya melepaskan lebih dari 40,000 anak penyu.

Yee berharap ganjaran itu dapat memberi motivasi kepada orang ramai untuk membantu jabatan hidupan liar dalam siasatan kes tersebut.

Posting Facebook makan malam perjumpaan telah dipadam tetapi tangkapan layar telur penyu yang dinyatakan untuk makan malam itu telah mengundang pelbagai reaksi kumpulan pemuliharaan yang mendesak kerajaan negeri untuk bertindak tegas terhadap mereka yang terlibat. - The Star.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain