suria

Pecat menteri Arab Saudi tiada kaitan dengan tambahan kuota haji Malaysia, kata sumber

Gambar fail menunjukkan umat Islam menunaikan solat Jumaat di Masjidil Haram di Makkah, Arab Saudi, mengamalkan penjarakkan sosial. foto Reuters

PEMECATAN Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi tiada kaitan dengan tambahan kuota haji untuk Malaysia, baru-baru ini, menurut sumber diplomatik.

Menurut sumber terdekat, hanya Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, merangkap Penjaga Dua Masjid Suci, mempunyai kuasa tunggal untuk membuat keputusan mengenai kuota haji.

"Menteri Haji dan Umrah tidak mempunyai kuasa dalam menentukan kuota haji bagi mana-mana negara termasuk Malaysia.

"Tugas menteri adalah memastikan kelancaran haji dan umrah setiap tahun," kata sumber itu yang enggan dikenali.

Timbul laporan di media sosial, mengaitkan pemecatan Menteri Haji dan Umrah dengan tambahan kuota haji, baru-baru ini.

Agensi berita Arab Saudi (SPA) pada Jumaat melaporkan bahawa Raja Salman memecat Muhammad Saleh Benten sebagai Menteri Haji dan Umrah, jawatan yang memegang peranan utama dalam mengatur ibadah haji tahunan.

Beliau digantikan oleh Menteri Negara, Essam bin Saeed sebagai pemangku menteri.

Malaysia mendapat tambahan kuota haji sebanyak 10,000 lagi, yang akan dilaksanakan setelah wabak Covid-19 terkawal dan haji dapat disambung semula.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dipersetujui oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Raja Salman, dalam pertemuan mereka di Istana Al Yamamah pada 10 Mac.

Sumber itu menambah bahawa bagi mendapatkan kuota haji, ia memerlukan perbincangan sulit antara keluarga diraja Arab Saudi dan wakil kerajaan berkaitan.

"Dalam konteks Malaysia, ia mengadakan perbincangan secara langsung dengan diraja Arab Saudi," kata sumber itu.

Menurut sumber itu, Muhyiddin tidak bertemu dengan Menteri Haji dan Umrah semasa lawatannya ke Arab Saudi, baru-baru ini.

"Isu tersebut adalah sulit dan hal dalaman keluarga diraja Arab Saudi.

"Ia tidak ada kaitan dengan Malaysia atau tambahan kuota haji.

"Adalah tidak bertanggungjawab dan tidak logik untuk mengaitkan kedua-dua isu tersebut," kata sumber itu.

Perdana Menteri berada di Arab Saudi untuk lawatan rasmi selama empat hari atas undangan Raja Arab Saudi. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain