suria

Remaja 17 tahun dikompaun RM10,000 tak daftar masuk kedai runcit

Seorang remaja dikenakan kompaun RM10,000 kerana tidak mendaftar masuk ke sebuah kedai runcit. -gambar hiasan

SEORANG remaja lelaki berusia 17 tahun dikenakan kompaun berjumlah RM10,000 kerana tidak mendaftar butiran atau mengimbas menerusi aplikasi MySejahtera sebelum masuk ke sebuah kedai runcit di Batu Berendam, Melaka.

Pelajar Tingkatan Lima itu yang enggan dikenali, mendakwa dia dikenakan kompaun tersebut pada Ahad, ketika bergegas ke kedai runcit berdekatan dengan rumahnya bagi mendapatkan ubat parasetamol untuk ibunya.

"Saya hanya bertanya sama ada terdapat jenama parasetamol di kedai tersebut dan ketika keluar dari kedai, polis berpakaian biasa melihat saya dan mengeluarkan kompaun," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

"Saya tidak diberikan peluang untuk memberi penjelasan dan kompaun terus dikeluarkan, tetapi saya faham, polis menjalankan tugas mereka," tambahnya.

Remaja itu berkata, dia mempunyai seorang adik perempuan yang masih bersekolah.

Tambahnya, pendapatan bapanya tidak cukup untuk membayar kompaun tersebut, sementara ibunya merupakan suri rumah.

"Saya amat berharop, saya dapat membuat rayuan berhubung kompaun tersebut dan mencari wang untuk menyelesaikannya tanpa membebankan ibu bapa saya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi berkata, pelajar tersebut boleh membuat rayuan kepada pegawai kesihatan daerah (PKD) Melaka Tengah bagi pengurangan jumlah kompaun. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain