WABAK Covid-19 ternyata memberi impak cukup hebat buat masyarakat di seluruh dunia. Tidak terkecuali di Malaysia, ada pengusaha yang gulung tikar, malah ada juga individu yang kehilangan kerja akibat pandemik yang melanda. Pada Rabu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan RM1.2 bilion terhadap mereka yang kehilangan pendapatan. Ia melibatkan 2.4 juta penerima untuk mendapatkan bantuan seperti berikut: 1) Bantuan tunai secara one-off sebanyak RM500 diberikan kepada golongan B40 yang telah hilang pendapatan; dan 2) Bayaran tambahan sebanyak RM500 diberikan kepada penerima BPR yang berpendapatan RM1,000 dan ke bawah. Menurut Muhyiddin, kedua-dua kategori ini melibatkan penerima berumur 21 hingga 60 tahun dan tidak melibatkan proses pendaftaran permohonan. "Pengesahan kehilangan pendapatan dan semakan silang akan dibuat melalui sistem LHDNM, KWSP dan PERKESO. "InsyaAllah, kedua-dua bantuan khas ini akan dibayar mulai Jun 2021 ke akaun penerima masing-masing," ujarnya. Untuk individu berstatus bankrap, Jabatan Insolvensi Malaysia akan memudahkan urusan mereka dengan pihak bank dalam menerima bantuan kerajaan. Kelonggaran akan diberi untuk membuka akaun bank secara dalam talian (online) melalui permohonan e-mel kepada cawangan Jabatan Insolvensi yang mentadbir kes mereka. Sebarang bantuan tunai yang dikreditkan tidak akan mengalami sebarang potongan ansuran bulanan. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!