SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun meninggal dunia selepas ditinggalkan empat jam di dalam kereta pengetua tadikanya, pada Selasa (16 Mac). Menurut ibu bapa mangsa, anaknya telah mengikuti pembelajaran di tadika terbabit sejak tahun lalu dan dijemput kakitangan tadika setiap hari Selasa dan Rabu. Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati pengetua tadika tersebut didakwa meninggalkan mangsa di dalam keretanya yang diparkir di luar tadika selama lebih dari empat jam. ARTIKEL BERKAITAN: Hasrat ke rumah nenek tak tercapai, budak 4 tahun maut tertinggal 10 jam dalam kereta "Pada pukul 12.15 tengah hari, ketika pengetua ingin menghantar kanak-kanak itu pulang, dia menyedari bahawa kanak-kanak tersebut tiada di kelas. Salah seorang guru memberitahunya bahawa kanak-kanak itu tidak hadir ke sekolah. "Pengetua tersebut terus meluru ke kenderaannya, namun ketika ditemui mangsa sudah tidak sedarkan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Menurut Adzli berkata, pengetua tadika itu kemudian menghubungi hospital dan berusaha memberikan bantuan pernafasan namun tidak berhasil. Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dengan menaiki ambulans tetapi doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia. Menurut Adzli lagi, pengetua tadika tersebut ditahan bagi membantu siasatan dan bedah siasat akan dilakukan ke atas kanak-kanak tersebut untuk mengetahui punca kematian. Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001. - THE STAR Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!