suria

Berita baik! Solat tarawih, bazar Ramadan dibenarkan... syaratnya patuh SOP ketat

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan keputusan mesyuarat jawatankuasa teknikal dalam sidang media pada Selasa.

KERAJAAN bersetuju untuk membenarkan pengajuran bazar Ramadan, bazar Aidilfitri dan solat tarawih sepanjang bulan Ramadan ini, namun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media pada petang Selasa.

Beliau berkata, keputusan untuk membenarkan aktiviti berkenaan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal pada Selasa selepas nasihat serta penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

ARTIKEL BERKAITAN: Kemungkinan boleh adakan bazar Ramadan tahun ini - Zuraida

"Setelah mengadakan perbincangan dan dapatkan pandangan KKM dan ahli mesyuarat lain, hari ini mesyuarat jawatankuasa teknikal telah bersetuju untuk membenarkan operasi bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di seluruh negara serta membenarkan solat tarawih.

"Bagaimanapun, SOP adalah ketat dan perlu dipatuhi bukan saja oleh peniaga tapi oleh pengunjung," katanya.

Menurut Ismail Sabri, antara syarat-syarat penganjuran bazar adalah lokasinya di kawasan terbuka, menyediakan laluan sehala pintu masuk dan keluar yang berbeza, pendaftaran MySejahtera dan kawalan jumlah pengunjung.

"Waktu operasi bazar Ramadan adalah daripada jam 3 petang hingga 8 malam dan operasi bazar Aidilfitri pula daripada 10 pagi hingga 12 tengah malam.

"Manakala SOP yang lain akan diumumkan kemudian. Bagaimanapun dari sudut lokasi, jumlah gerai serta saiz tapak dan lain-laian akan ditentukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Untuk solat tarawih ia dibenarkan, tapi tertakluk kepada SOP dan keputusan dari negeri masing-masing. Seperti kita tahu, apa sahaja aktiviti agama adalah di bawah kuasa negeri.

"Bukan sahaja solat tarawih, mungkin tadarus, ceramah agama atau tazkirah dan lain-lain ditentukan oleh kerajaan negeri. Cuma kita di peringkat jawatankuasa bersetuju pada dasarnya untuk benarkan," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain