suria

“Kalau tak lompat kamu tetap didera” - Anwar dakwa ada MP pembangkang diugut, disogok lompat parti... mahu jumpa bos SPRM

Anwar (gambar fail) memberikan penjelasan berkaitan rundingan PKR-Umno. foto AFP

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa terdapat lima ahli Parlimen pembangkang yang diugut dan diberikan tekanan supaya melompat parti.

Dalam satu sidang media, Anwar menyebut beberapa nama wakil rakyat yang didakwa ditawarkan untuk menerima habuan dan sogokan untuk keluar parti, antaranya wakil rakyat Sungai Siput, Putatan, Miri, Padang Serai dan Sekijang.

Malah beliau mendakwa bahawa ahli Parlimen (MP) yang melompat parti tidak akan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kalau lompat, siasatan mereka ditangguh atau ditutup. Kalau tak lompat, kamu tetap didera.

"Ada yang menghubungi mereka mengugut dan menawarkan pelbagai sogokan serta umpan untuk menarik dokongan mereka.

"Ini politik yang disebut penipuan, menyalahgunakan kuasa dengan cara menekan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat tergempar melibatkan 36 ahli Parlimen PKR termasuk menteri besar dan ketua menteri sesetengah negeri, di Hotel Eastin, Petaling Jaya, petang Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dijadual adakan sidang media petang ini, susulan isu rundingan PKR-Umno

Sehubungan itu, Anwar menolak amalan rasuah dan penyelewengan kerana mahu kerajaan yang lebih telus dengan tadbir urus yang baik.

Susulan dakwaan, Anwar berkata, beliau akan menulis surat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki pada pagi Rabu untuk mengadakan pertemuan berhubung perkara tersebut.

Dalam sidang media sama, Anwar mengakui terdapat perbincangan awal antara PKR dan beberapa pemimpin Umno.

Beliau bagaimana berkata, masih terlalu awal untuk mengatakan ada perjanjian atau persefahaman antara Umno dan PKR.

"Terlalu awal untuk perjanjian. Jangan mengandaikan ia sebagai satu perjanjian persefahaman, ia hanya kemungkinan sahaja.

"Namun saya tidak tolak kerjasama bersama Umno pada masa akan datang," katanya.

Khabar angin mengenai PKR berkemungkinan menjalin kerjasama dengan 'seterunya' Umno bertiup kencang, terutama selepas Anwar mendedahkan terdapat rundingan tidak rasmi antara kedua-dua parti.

Ahad lalu, menerusi temu bual bersama Mingguan Malaysia, Presiden PKR itu berkata, perbincangan awal itu melibatkan pimpinan kedua-dua parti dan ia telah menunjukkan perkembangan positif.

"(Perbincangan) dengan pimpinan parti dan ia hanya perbincangan awal. Tapi dalam perbincangan awal ini, apa yang saya dapat kesan? Ia satu yang positif. Sebab kita lebih faham mereka (Umno) dan mereka lebih faham kita," katanya memetik laporan tersebut.

Kenyataan itu menguatkan lagi khabar angin bahawa kedua-dua parti akan menjalinkan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Tindakan itu dipercayai diambil Umno selepas Majlis Kerja Tertingginya membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PRU-15.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mendakwa tidak tahu-menahu wujudnya perbincangan antara parti itu bersama PKR bagi membentuk jalinan kerjasama baharu pada PRU-15.

Malah ujarnya, beliau tidak dimaklumkan mengenai sebarang pertemuan bagi membincangkan isu berkenaan.

Terdahulu, menerusi laporan Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dipetik sebagai berkata, perbincangan kerjasama antara PKR dengan Umno belum dibincang di peringkat Pakatan Harapan (PH) namun kerjasama itu diyakini akan diterima akar umbi.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula berkata, PKR tidak membincangkan mengenai kerjasama dengan Umno dalam perjumpaan dengan Anwar, petang Selasa.

Memetik laporan Sinar Harian, beliau ketika ditanya adakah kerjasama dengan Umno akan berlaku dalam masa terdekat ini dan perkara itu sudah dibincangkan dalam kalangan pemimpin parti, beliau berkata, tiada perbincangan mengenainya setakat ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain