suria

Rasuah RM1.64 juta lindungi pemandu lori, 32 pegawai JPJ antara 44 ditahan

32 pegawai JPJ antara 44 individu yang ditahan dipercayai terlibat dalam sindiket melindungi pemandu-pemandu lori. Gambar hiasan

SERAMAI 32 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) antara 44 individu yang ditahan dipercayai terlibat dalam sindiket melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya, demikian menurut sumber.

Selain pegawai JPJ, baki selebihnya yang ditahan terdiri daripada anggota polis trafik, bekas anggota polis trafik serta orang awam.

Menurut sumber itu, pegawai JPJ tersebut melibatkan pelbagai gred termasuk pegawai kanan manakala orang awam pula merupakan proksi.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes rasuah: Lima anggota JPJ, bekas kakitangan SPAD mengaku tidak bersalah

Katanya, tangkapan tersebut dilakukan menerusi satu operasi besar-besaran yang dikenali sebagai Ops Sukat di lima negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Melaka dan Perak.

Tangkapan di Kedah melibatkan lapan pegawai JPJ, seorang anggota trafik, seorang bekas anggota trafik polis dan seorang orang awam.

"Pulau Pinang pula melibatkan tangkapan seramai sembilan pegawai JPJ, Perak melibatkan lapan pegawai JPJ dan empat orang awam, Perlis melibatkan tangkapan seorang awam dan Melaka melibatkan tangkapan seramai tujuh pegawai JPJ dan empat orang awam sejak semalam," katanya pada Selasa.

Katanya, antara modus operandi yang dikesan ialah pegawai-pegawai berkenaan tidak akan mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang telah melakukan kesalahan jalan raya setelah menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi atau proksi secara bulanan.

"Mereka dipercayai menerima kira-kira RM150 hingga RM3,000 sebulan dengan nilai keseluruhan melibatkan kira-kira RM1.64 juta.

"Perbuatan ini dipercayai dilakukan sejak 2019 hingga 2020," katanya lagi.

Ketua Pesuruhajaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki turut mengesahkan tangkapan berkaitan operasi tersebut.

Menurutnya, operasi tersebut merupakan hasil kerjasama antara SPRM dan JPJ khususnya ketua pengarah dan Bahagian Integriti JPJ dalam usaha meningkatkan integriti jabatan tersebut.

"Objektif siasatan ialah tertumpu kepada kesalahan rasuah di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009 dan melibatkan isu salah laku. Kita cuba untuk lakukan siasatan secepat mungkin," katanya.

Azam menambah ketika ini siasatan masih lagi berjalan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa lagi siri tangkapan. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain