suria

Anwar dijadual adakan sidang media petang ini, susulan isu rundingan PKR-Umno

Anwar Ibrahim (gambar fail) dijadualkan mengadakan sidang media, petang Selasa.

SATU sidang media dijadualkan diadakan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pukul 4.30 petang Selasa (16 Mac), ketika hangat diperkatakan tentang rundingan mengenai PKR dan Umno bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Jemputan untuk sidang media dihantar kepada media sejak pagi Selasa, menerusi grup WhatsApp oleh setiausaha akhbarnya, berikutan laporan Mingguan Malaysia pada Ahad, di mana Anwar mengesahkan terdapat rundingan tidak rasmi antara kedua-dua parti.

Sidang media akan diadakan di Hotel Eastin di Petaling Jaya, Selangor dan akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook (FB Live).

Sumber memberitahu, beliau dijangka akan menjelaskan tentang isu kerjasama Umno dan PKR dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut sumber, Anwar dijangka mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen PKR pada pukul 2.30 petang sebelum sidang media itu.

"Saya tidak pasti apa isunya, tetapi saya rasa kita boleh jangka apa yang akan diumumkan," kata sumber itu secara ringkas.

Terdahulu, menerusi laporan Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dipetik sebagai berkata, perbincangan kerjasama antara PKR dengan Umno belum dibincang di peringkat Pakatan Harapan (PH) namun kerjasama itu diyakini akan diterima akar umbi.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Anwar berkata, beliau akan berusaha meyakinkan pemimpin seperti Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli untuk kembali aktif dalam politik, kerana kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekuatan masing-masing sebagai pemimpin dan pengganti dalam kepimpinan parti.

Nurul Izzah dan Rafizi tidak aktif berpolitik berikutan kemelut yang berlaku dalam PKR antara puak yang menyokong Anwar dan bekas timbalan presiden parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 2019. - The Star



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain