suria

“Tak pernah keluar Islam” - Illi Najwa menghadap Sultan Johor, kontroversi nikahi kapten hoki India selesai

Gambar kiri menunjukkan Illi Najwa (kanan) menghadap Sultan Ibrahim. foto Royal Press Office. Gambar kanan menunjukkan Illi Najwa dan pasangannya melangsungkan perkahwinan.

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menerima menghadap Illi Najwa Anuar Hussein Saddique yang mencetuskan kontroversi apabila berkahwin dengan Kapten Hoki India, Manpreet Singh Pawar, tahun lalu.

Baginda turut berkenan menerima mengadap Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad di Pejabat Mados, di Istana Bukit Pelangi, di Johor Bahru, Khamis, bagi mempersembahkan hasil siasatan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berhubung status perkahwinan dan keagamaan Illi Najwa bersama pasangannya.

Menerusi kenyataan di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, Yahya berkata, siasatan secara menyeluruh telah dijalankan oleh JAINJ dan mendapati Illi Najwa masih Islam.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita Malaysia kahwin di India, Menteri Agama minta rakyat berhati-hati

"Pihak JAINJ telah memanggil Illi Najwa bersama ibunya serta beberapa saksi lain dan keterangan juga diambil daripada mereka.

"Hasil siasatan mendapati Illi Najwa tidak pernah keluar dari Islam, malah pada hari ini beliau (Illi Najwa) juga hadir bersama kami untuk mengadap Baginda Tuanku Sultan," katanya yang dimuat naik akaun Facebook rasmi Sultan Johor, pada Khamis.

Turut menghadap Sultan Johor dalam pertemuan berkenaan adalah Pengarah JAINS, Datuk Md Rofiki Shamsudin.

Dalam pada itu, Yahya berkata, pendaftaran perkahwinan pasangan itu di Johor Bahru juga kini dalam proses.

"Tiada ada apa-apa masalah untuk didaftarkan perkahwinan mereka dan isu ini juga sudah selesai," kata beliau.

Pada Disember lalu, Sultan Johor menitahkan Jainj dan Jabatan Mufti Johor menyiasat status terkini agama wanita berkenaan yang dilaporkan berkahwin dengan Kapten Hoki India.

Sultan Johor bertitah, sebagai Ketua Agama Islam Johor, baginda bertanggungjawab memelihara kedudukan Islam supaya sentiasa terpelihara dan dipandang mulia selari dengan Perkara 57 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 dan Perkara 3 Perlembagaan.

Isu membabitkan Illi Najwa menjadi kecoh selepas tular beberapa gambar dan video wanita itu melangsungkan majlis perkahwinan tersebut, di kampung halaman Manpreet di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab, pada Disember tahun lalu.

Manpreet yang memeluk Islam pada akhir 2019 mengenakan sut perkahwinan punjabi yang lengkap dengan serban, sementara Illi Najwa berpakaian pengantin Punjabi ketika mereka bertukar ikrar perkahwinan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain