suria

Pegawai kanan agensi kerajaan dicekup, individu kelapan ditahan SPRM susulan sindiket kartel projek bernilai RM3.8 bilion

Suspek berusia 38 tahun merupakan seorang juru ukur bahan gred 48 dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya. Foto: The Star

SEORANG pegawai kanan agensi kerajaan telah diberkas kerana didakwa terlibat dalam sindiket 'kartel projek' bernilai RM3.8 bilion yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dengan penangkapan suspek berusia 38 tahun itu yang merupakan seorang juru ukur bahan gred 48, menjadikan seramai lapan orang yang diberkas setakat ini.

Suspek dipercayai terlibat dengan penyediaan 'bill of quatity' (BQ) bagi projek-projek yang ditawarkan agensi terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM tumpaskan sindiket kartel projek bernilai RM3.8 bilion

Sumber berkata suspek didakwa membocorkan maklumat mengenai spesifikasi projek untuk membolehkan sindiket mempunyai kelebihan mendapatkan tender.

Suspek diberkas lewat Isnin malam (5 April) di rumahnya di Ampang.

"Siasatan menunjukkan bahawa suspek dibayar RM300,000 setiap kali dia menyalurkan maklumat kepada ketua sindiket.

"Sebanyak empat kali pembayaran dibuat kepada lelaki itu dianggarkan berjumlah RM1.2 juta," kata seorang sumber.

Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk ditahan reman.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan penangkapan itu.

Pada Isnin, tujuh individu termasuk ketua sindiket itu, direman selama enam hari setelah Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan SPRM.

Kartel itu dilaporkan memonopoli sejumlah 345 tender yang melibatkan beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara bernilai RM3.8 bilion. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain